Sunday, 6 September 2015

BENTANG DRAF TERAKHIR PERJANJIAN TPP

Kenyataan Media Penerangan. 27

BENTANG DRAF TERAKHIR PERJANJIAN TPP

Oleh : Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tarikh : 23 Zulkaedah 1436 / 6 September 2015

1. Ekoran daripada siri rundingan terakhir Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang telah diadakan pada bulan Ogos lalu di Hawaii, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri didesak untuk membentangkan draf terkini perjanjian tersebut kepada rakyat sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula 19 Oktober ini.

2. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menuntut agar draf yang telah dipersetujui di kalangan negara anggota mesti dipaparkan kepada umum sebelum perbahasan diadakan di peringkat Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini. Ia bagi membolehkan rakyat terlibat dalam konsultasi khas semasa proses pembentukan sesebuah dasar utama negara.

3. PAS difahamkan draf terkini perjanjian tersebut sudah lengkap dan hanya tunggu untuk ditandatangani sahaja. Kita juga mahu mengelakkan sebarang unsur prejudis dan meningkatkan tahap ketelusan sebelum ia diputuskan oleh kerajaan. Rakyat masih belum mendapat kefahaman yang jelas berhubung perjanjian ini. Walhal, ia akan memberi kesan besar dalam kehidupan mereka.

4. Mengapa MITI masih berselindung dan tidak mahu membentangkan draf ini secara terbuka? Terdapat pelbagai isu penting yang perlu diperincikan contohnya isu tender dan perolehan, analisis kos faedah serta persediaan sektor perusahaan kecil dan sederhana. Bagaimana ingin mendapatkan sokongan keyakinan rakyat sedangkan intipati perjanjian masih belum dibentangkan secara telus dan terbuka.

5. Kita tidak mahu perbahasan draf terakhir ini hanya berlaku di peringkat Parlimen sahaja dan kemungkinan ia hanya diluluskan oleh Dewan Rakyat dalam tempoh sehari. Kemungkinan input yang dibahaskan tidak matang, tergesa-gesa dan tidak mendapat sokongan majoriti besar ahli dewan apatah lagi masyarakat Malaysia. Jangan perjudikan lagi masa depan negara.

Sekian.
~Hijau

No comments:

Post a comment