Tuesday, 2 September 2014

UNIT AMAL KEBANGGAAN PAS


"Beramal Kerana Allah!" Demikian tema tersemat kuat menjadi cinta disanubari setiap anggota 'Tentera Merah' Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS atau masyhur dikenali sebagai Unit Amal.


Di mana jua program PAS, anggota Unit Amal setia menjalankan tugasannya mengkoordinasi kawalan sekitar tempat aturcara dijalankan dan bekerja di bawah kepatuhan serta ketaatan disiplin tinggi. Hingga apabila mereka 'dilepaskan' untuk berada di medan masyarakat, anggota Unit Amal baik secara individu mahupun pasukan sentiasa mudah dan sedia menghulurkan khidmat mereka.


Tanpa biaya, tidak menghitung masa, biarpun ditimpa hujan dan panas, pada sebarang tekanan dan hambatan, mereka adalah murabitun yang menyerahkan segala keringat demi terlaksananya amanah parti ke atas rakyat. Merekalah pejuang tanpa nama yang menjulang PAS untuk diterima setiap lapisan masyarakat. Selayaknya mereka itu dikait dengan pujian Nabi SAW sebagaimana sabda Baginda:

"Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendalian kudanya di jalan Allah, rambutnya kusut kedua kakinya berdebu, jika sedang mengawal tetap dalam pengawasan, jika di bahagian perbekalan tetap di menjaga perbekalan…" (Riwayat Bukhari)


Dalam melaksanakan rutin tugasan, kolaborasi bersama pihak lain diatur serapinya sebagai pasukan sokongan yang menyempurnakan hingga terlahir damai dan sistematik pada setiap program berkaitan. Di mana, pada satu uniform meroon itu, merekalah doktor, jurutera, bomba mahupun pekerja bandaran. Serba serbi mesti mahupun boleh dilakukan dalam rangka meninggikan kalimah Allah menerusi kerja-kerja parti.


Seluruh organisasi PAS sangat berbangga memiliki Unit Amal sebagai tenaga yang padu, cekal dan gagah lagi mesra. Kini mereka bakal diuji dengan label naif musuh-musuh politik PAS yang cuba mencampakkan mereka dengan kesalahan rekayasa. Inilah masanya seluruh ahli PAS menzahirkan kebersamaan kasih sayang kepada Unit Amal.


Saya menyeru kita menyokong mereka dengan memakai tshirt meroon Unit Amal secara kerap setiap masa dan tempat sepanjang bulan ini. Disamping itu kita meningkatkan doa kita kehadrat Ilahi agar Dia melindungi dan merahmati atas keikhlasan yang anggota Unit Amal telah, sedang dan akan berikan untuk negara dan dunia ini.


BERAMAL KERANA ALLAH

Salam Perjuangan,

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a comment