Wednesday 24 September 2014

PRK PENGKALAN KUBOR: JANGAN MENGONGKONG MINDA PENDIDIK!


Pertubuhan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan [PENDIDIK] hari ini memberi amaran kepada mana-mana pihak yang mencuba untuk memaksa, mengongkong minda dan mengugut para pendidik untuk mengundi UMNO dan Barisan Nasional menjelang hari pengundian Pilihanraya Pengkalan Kubor pada 25 September 2014 esok.


Guru bukanlah 'robot' yang boleh diarah sewenang-wenangnya sehingga menafikan hak mereka sebagai warganegara Malaysia dalam membuat keputusan bagi memilih siapa yang mereka mahukan untuk diangkat sebagai pemimpin atau wakil rakyat. Tiada sesiapa pun boleh memaksa mana-mana guru untuk mengikut arahan yang tidak bertamadun seperti itu.


Guru merupakan penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat. Gajinya dibayar oleh rakyat dan bukannya dari duit poket UMNO dan Barisan Nasional. Jadi, jangan memaksa warga pendidik untuk mengikut telunjuk pemimpin politik yang cuba untuk mencampuradukkan 'pendidikan' dengan 'politik kepartian' yang akhirnya akan merosakkan masa depan pendidikan negara.


Seperti sedia maklum, guru telah memposisikan diri sebagai penjawat awam dan menjadi 'pelaksana dasar' dalam apa juga program pendidikan yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. Namun demikian, dari segi hak untuk mengundi dan memilih pemimpin yang mereka mahukan, tiada sesiapa yang boleh mencampuri atau merampas hak tersebut daripada mereka. Hak ini dijamin dalam perlembagaan selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita. Cukuplah hampir 57 tahun guru menjadi mangsa percaturan politik oleh pemimpin yang rakus kuasa hingga memperlakukan guru secara zalim termasuk sengaja menukarkan guru lokasi kerja sehingga berjauhan daripada keluarga hanya kerana dendam politik semata-mata.


PENDIDIK menyeru agar semua warga pendidik untuk membuat satu kebangkitan dengan penuh keberanian agar dapat 'merobohkan tembok kezaliman' yang telah lama membelenggu mereka setelah ini sekian lama. Hanya dengan memahami hak mereka sebagai warganegara Malaysia, berumur 21 tahun keatas yang bebas menyokong mana-mana pertubuhan politik yang sah dan berdaftar di negara ini, maka guru dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam memilih pemimpin yang mereka mahukan demi kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta.


PENDIDIK membuat saranan kepada mana-mana warga pendidik yang diugut sedemikian agar segera membuat laporan polis dan membuat pengaduan kepada pihaknya atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [SUHAKAM]. PENDIDIK juga tidak akan teragak- agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] sekiranya menerima laporan jika terdapat adanya bukti salahguna kuasa yang mengongkong jiwa pendidik kerana ia bercanggah dengan Artikel 1 [Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat] yang memetik bahawa 'semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak- hak'.


PENDIDIK juga menyokong penuh kenyataan Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan [KPPK], Sdra Hashim Adnan dalam PRK Kuala Besut tahun lepas yang mengingatkan parti-parti politik bahawa guru tidak harus diancam dan diugut untuk mengundi mana-mana calon parti yang bertanding sebagai pulangan 'buah keras' kepada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Idris Jusoh yang ketika itu menyeru agar para guru menyokong Barisan Nasional di dalam pilihanraya tersebut.


PENDIDIK ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas pendirian tegas yang pernah dibuat oleh Sdra Hashim Adnan yang dipetik dari sebuah portal berita The Malaysian Insider. Ini merupakan satu kenyataan terbuka yang berani dan belum pernah dilakukan oleh mana-mana pihak sebelum itu termasuk Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri atau Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah yang berkhidmat di dalam Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebaliknya, apa yang selalu didengai ialah ugutan dan pemaksaan agar semua guru mesti mengundi UMNO dan Barisan Nasional samada dalam pilihanraya umum ataupun pilihanraya kecil.


PENDIDIK berharap agar warga pendidik akan terus bersemangat untuk mendidik anak bangsa dengan penuh dedikasi dan konsisten menjalankan tugas walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran dan ugutan seperti ini. Kita juga ingin melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan penggunaan sekolah-sekolah milik kerajaan yang masih digunakan sebagai lokasi kempen oleh UMNO dan Barisan Nasional. Sehingga hari ini, perkara seperti ini masih dilakukan setiap kali pilihanraya berlangsung dan terang-terang bahawa ini telah mencampuradukkan politik kepartian dengan soal pendidikan masa depan anak bangsa.


NORMALA BINTI SUDIRMAN
Presiden,
Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan [PENDIDIK]
24 September 2014.

No comments:

Post a Comment