Krisis Isu Menteri Besar Selangor hampir terlerai dengan pelantikan YAB Sdr Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu semalam bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Bagi saya dan ramai pemimpin PAS beranggapan pelantikan YAB Azmin bukan sesuatu yang mengejutkan, dijangkakan bahkan diharapkan bagi menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Tan Sri Abdul Khalid. Legasi kejayaan Tan Sri Khalid serta nama besar yang ditinggalkan oleh beliau perlu diisi oleh tokoh hebat yang setara dengan beliau, dan YAB Azmin dilihat mempunyai kebolehan itu.
Sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), diharapkan beliau mampu menjadi jambatan penghubung antara Pakatan Rakyat di semua peringkat bagi mengukuhkan persefahaman PR. YAB Azmin diharap dapat membawa suara Pakatan Rakyat dengan tidak meminggirkan mana-mana pihak serta mengangkat tinggi prinsip persefahaman melalui kesepakatan dalam PR. Kejayaan beliau adalah lambang keutuhan PR, tanpa ada pihak yang boleh merasa diperkecil atau dilebihkan kerana masing-masing mempunyai jasa, peranan dan tanggungjawab bagi memenangkan PR di Selangor.
Pelantikan YAB Azmin diharapkan dapat menjernihkan kembali hubungan antara kesemua pemimpin PR di samping menyembuhkan luka yang di alami. Apa yang menyedihkan, drama tembak menembak sesama sendiri banyak mencederakan pemimpin dan yang menjadi mangsa serangan paling kuat adalah kepimpinan PAS termasuk Presiden PAS, Majlis Syura Ulama', ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ketua-Ketua Dewan PAS Pusat. Bahkan mereka yang berdiam diri tanpa melibatkan diri dalam krisis ini turut terpalit dengan pelbagai persepsi negatif serta tohmahan liar daripada pihak tidak bertanggungjawab.
Sudah tiba masanya kita semua bekerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Polemik tiada berkesudahan ini meletihkan, dan rakyat menjadi bosan dengan politiking dalaman. Rakyat mahu melihat kita bersatu dan membuktikan bahawa PR lebih baik daripada BN dalam menghadapi cabaran semasa serta bersedia menjadi kerajaan persekutuan dalam tempoh terdekat.
Apa yang penting, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah kepimpinan YAB Azmin Ali perlu buktikan bahawa kerajaan PR terlalu jauh lebih baik, telus, amanah, kompetensi dan cemerlang berbanding kerajaan negeri di bawah BN. Malah, beliau juga perlu buktikan era kepimpinan beliau lebih hebat daripada legasi tinggalan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
No comments:
Post a Comment