Wednesday, 24 September 2014

PRK PENGKALAN KUBOR: JANGAN MENGONGKONG MINDA PENDIDIK!


Pertubuhan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan [PENDIDIK] hari ini memberi amaran kepada mana-mana pihak yang mencuba untuk memaksa, mengongkong minda dan mengugut para pendidik untuk mengundi UMNO dan Barisan Nasional menjelang hari pengundian Pilihanraya Pengkalan Kubor pada 25 September 2014 esok.


Guru bukanlah 'robot' yang boleh diarah sewenang-wenangnya sehingga menafikan hak mereka sebagai warganegara Malaysia dalam membuat keputusan bagi memilih siapa yang mereka mahukan untuk diangkat sebagai pemimpin atau wakil rakyat. Tiada sesiapa pun boleh memaksa mana-mana guru untuk mengikut arahan yang tidak bertamadun seperti itu.


Guru merupakan penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat. Gajinya dibayar oleh rakyat dan bukannya dari duit poket UMNO dan Barisan Nasional. Jadi, jangan memaksa warga pendidik untuk mengikut telunjuk pemimpin politik yang cuba untuk mencampuradukkan 'pendidikan' dengan 'politik kepartian' yang akhirnya akan merosakkan masa depan pendidikan negara.


Seperti sedia maklum, guru telah memposisikan diri sebagai penjawat awam dan menjadi 'pelaksana dasar' dalam apa juga program pendidikan yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. Namun demikian, dari segi hak untuk mengundi dan memilih pemimpin yang mereka mahukan, tiada sesiapa yang boleh mencampuri atau merampas hak tersebut daripada mereka. Hak ini dijamin dalam perlembagaan selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita. Cukuplah hampir 57 tahun guru menjadi mangsa percaturan politik oleh pemimpin yang rakus kuasa hingga memperlakukan guru secara zalim termasuk sengaja menukarkan guru lokasi kerja sehingga berjauhan daripada keluarga hanya kerana dendam politik semata-mata.


PENDIDIK menyeru agar semua warga pendidik untuk membuat satu kebangkitan dengan penuh keberanian agar dapat 'merobohkan tembok kezaliman' yang telah lama membelenggu mereka setelah ini sekian lama. Hanya dengan memahami hak mereka sebagai warganegara Malaysia, berumur 21 tahun keatas yang bebas menyokong mana-mana pertubuhan politik yang sah dan berdaftar di negara ini, maka guru dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam memilih pemimpin yang mereka mahukan demi kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta.


PENDIDIK membuat saranan kepada mana-mana warga pendidik yang diugut sedemikian agar segera membuat laporan polis dan membuat pengaduan kepada pihaknya atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [SUHAKAM]. PENDIDIK juga tidak akan teragak- agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] sekiranya menerima laporan jika terdapat adanya bukti salahguna kuasa yang mengongkong jiwa pendidik kerana ia bercanggah dengan Artikel 1 [Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat] yang memetik bahawa 'semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak- hak'.


PENDIDIK juga menyokong penuh kenyataan Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan [KPPK], Sdra Hashim Adnan dalam PRK Kuala Besut tahun lepas yang mengingatkan parti-parti politik bahawa guru tidak harus diancam dan diugut untuk mengundi mana-mana calon parti yang bertanding sebagai pulangan 'buah keras' kepada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Idris Jusoh yang ketika itu menyeru agar para guru menyokong Barisan Nasional di dalam pilihanraya tersebut.


PENDIDIK ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas pendirian tegas yang pernah dibuat oleh Sdra Hashim Adnan yang dipetik dari sebuah portal berita The Malaysian Insider. Ini merupakan satu kenyataan terbuka yang berani dan belum pernah dilakukan oleh mana-mana pihak sebelum itu termasuk Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri atau Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah yang berkhidmat di dalam Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebaliknya, apa yang selalu didengai ialah ugutan dan pemaksaan agar semua guru mesti mengundi UMNO dan Barisan Nasional samada dalam pilihanraya umum ataupun pilihanraya kecil.


PENDIDIK berharap agar warga pendidik akan terus bersemangat untuk mendidik anak bangsa dengan penuh dedikasi dan konsisten menjalankan tugas walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran dan ugutan seperti ini. Kita juga ingin melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan penggunaan sekolah-sekolah milik kerajaan yang masih digunakan sebagai lokasi kempen oleh UMNO dan Barisan Nasional. Sehingga hari ini, perkara seperti ini masih dilakukan setiap kali pilihanraya berlangsung dan terang-terang bahawa ini telah mencampuradukkan politik kepartian dengan soal pendidikan masa depan anak bangsa.


NORMALA BINTI SUDIRMAN
Presiden,
Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan [PENDIDIK]
24 September 2014.

PELANTIKAN MB SELANGOR : HENTIKAN POLEMIK, TUMPU MASA BEKERJA UNTUK RAKYAT


Krisis Isu Menteri Besar Selangor hampir terlerai dengan pelantikan YAB Sdr Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu semalam bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.  Bagi saya dan ramai pemimpin PAS beranggapan pelantikan YAB Azmin bukan sesuatu yang mengejutkan, dijangkakan bahkan diharapkan bagi menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Tan Sri Abdul Khalid. Legasi kejayaan Tan Sri Khalid serta nama besar yang ditinggalkan oleh beliau perlu diisi oleh tokoh hebat yang setara dengan beliau, dan YAB Azmin dilihat mempunyai kebolehan itu.


Sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), diharapkan beliau mampu menjadi jambatan penghubung antara Pakatan Rakyat di semua peringkat bagi mengukuhkan persefahaman PR. YAB Azmin diharap dapat membawa suara Pakatan Rakyat dengan tidak meminggirkan mana-mana pihak serta mengangkat tinggi prinsip persefahaman melalui kesepakatan dalam PR. Kejayaan beliau adalah lambang keutuhan PR, tanpa ada pihak yang boleh merasa diperkecil atau dilebihkan kerana masing-masing mempunyai jasa, peranan dan tanggungjawab bagi memenangkan PR di Selangor.

Pelantikan YAB Azmin diharapkan dapat menjernihkan kembali hubungan antara kesemua pemimpin PR di samping menyembuhkan luka yang di alami. Apa yang menyedihkan, drama tembak menembak sesama sendiri banyak mencederakan pemimpin dan yang menjadi mangsa serangan paling kuat adalah kepimpinan PAS termasuk Presiden PAS, Majlis Syura Ulama', ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ketua-Ketua Dewan PAS Pusat. Bahkan mereka yang berdiam diri tanpa melibatkan diri dalam krisis ini turut terpalit dengan pelbagai persepsi negatif serta tohmahan liar daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Sudah tiba masanya kita semua bekerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Polemik tiada berkesudahan ini meletihkan, dan rakyat menjadi bosan dengan politiking dalaman. Rakyat mahu melihat kita bersatu dan membuktikan bahawa PR lebih baik daripada BN dalam menghadapi cabaran semasa serta bersedia menjadi kerajaan persekutuan dalam tempoh terdekat. 

Apa yang penting, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah kepimpinan YAB Azmin Ali perlu buktikan bahawa kerajaan PR terlalu jauh lebih baik, telus, amanah, kompetensi dan cemerlang berbanding kerajaan negeri di bawah BN. Malah, beliau juga perlu buktikan era kepimpinan beliau lebih hebat daripada legasi tinggalan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Monday, 15 September 2014

Rugi Jika Tolak Wan Rosdi - Presiden PAS



TUMPAT:
 Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan pengundi di Dun Pengkalan Kubor sebagai orang yang rugi sekiranya menolak calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim pada 25 September ini.

Katanya, Wan Rosdi bukan sahaja seorang calon yang setia kepada parti, sebaliknya telah menjalankan kerja-kerja wakil rakyat sejak dua penggal lalu iaitu selepas Pilihan raya Umum (PRU) ke-12 dan PRU13.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di Markas Besar PAS Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Menurutnya, calon Pakatan Rakyat itu juga seorang yang setia kepada parti yang sering mengikut keputusan parti.

"Ketika tidak dicalonkan sebagai calon PRU, beliau tidak bersungut dan menjalankan kerja-kerjanya sebagaimana biasa.

"Bila calon PKR kalah pada PRU12 dan 13, beliau menerima pula jawatan Penyelia Dun dan menjalankan kerja-kerja wakil rakyat sebagaimana biasa," ujarnya.

Katanya, calon yang paling layak untuk dipilih oleh pengundi di Dun Pengkalan Kubor sememangnya Wan Rosdi, seorang yang bersifat sederhana dan berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Menyentuh tentang peringkat awal Wan Rosdi menolak apabila namanya dicalonkan, beliau berkata Islam menggalakkan memilih orang sedemikian.

Menurut beliau lagi, orang yang tidak meminta jawatan itu sebenarnya yang lebih layak berbanding mereka yang meminta untuk mendapatkan jawatan.

"Nabi s.a.w. sendiri berpesan supaya memilih mereka yang tidak meminta jawatan kerana mereka itulah yang sebenarnya lebih layak berbanding daripada orang yang meminta-minta jawatan.

"Yang terbaik ialah calon kitalah, Pakatan Rakyat kerana Pengkalan Kubor dari segi sejarahnya PAS telah menguasi Dun tersebut sejak tahun 1959," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya lagi, mengikut keputusan PRU13 lalu, peringkat parlimen calon Pakatan Rakyat Datuk Kamarudin Jaffar menang, namun di Dun sahaja tewas.

Beliau bagaimanapun mengingatkan anggota parti seluruhnya agar tidak over confident untuk meraih kemenangan dengan mudah.

Ini, ujarnya kerana PAS bukan sahaja melawan parti Umno dan BN, sebaliknya turut berlawan dengan agensi kerajaan Pusat yang datang dari pelbagai arah dengan tidak malu-malu lagi.

"Demokrasi di tempat kita berat sebelah dan kita bertanding tidak di padang yang sama rata," ujatnya lagi. - HARAKAHDAILY 14/9/2014

Hari Malaysia Disambut Pendaratan Tentera AS



1. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengutuk tindakan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah membenarkan tentera Amerika Syarikat mengadakan latihan eksesais bilateral di negara ini. 

2. GAMIS meluahkan rasa kebimbangan dan kerisauan di sebalik apa yang terjadi. Walaupun dimaklumkan oleh Angkatan Tentera Darat Malaysia bahawa tujuan pendaratan mereka adalah untuk latihan dalam bidang pengurusan bencana alam dan perlaksanaan Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun ia sungguh mencurigakan. 

3. Pendaratan tentera Amerika ini juga sebagai satu simbolik pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap keganasan Amerika dan sekutunya Israel terhadap umat Islam di seluruh dunia, khususnya di bumi Gaza melalui Operasi Perlindungan Sempadan (Operation Protective Edge) selama tujuh minggu.

4. Kerajaan Malaysia telah meletakkan keselamatan negara dan rakyat diparas bahaya. Tidak boleh dinafikan melalui siri latihan yang diadakan ini mampu memberi peluang dengan lebih terbuka kepada tentera Amerika untuk mengakses maklumat ketenteraan Malaysia dan mengkaji geografi dan permukaan bumi di Malaysia. Seribu satu kemungkinan bakal berlaku. 

5. Justeru itu, GAMIS begitu kecewa dengan tindakan kerajaan dalam menyambut Hari Malaysia, 16 September dengan mencetuskan kebimbangan dilubuk hati rakyat akan keselamatan tanah air tercinta. Negara dalam keadaan bahaya selepas menjadi mangsa pertembungan kuasa besar dunia dengan tragedi pesawat MH370 dan MH17 serta di sebalik kedatangan Barack Obama yang mempunyai seribu satu persoalan. 

6. GAMIS terus mendesak kerajaan untuk mengambil langkah proaktif dengan memperketatkan keselamatan di darat, laut dan ruang udara negara.

7. GAMIS sebagai sebuah gerakan mahasiswa dengan tegas mahu kerajaan Malaysia bertindak segera dengan menghentikan kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat. – HARAKAHDAILY 15/9/2014

Abdul Malik Ab Razak ialah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Harga Minyak Naik Lagi Dengan GST



KUALA LUMPUR: Laporan akhbar Sin Chew Daily yang turut dipetik oleh laman kereta paultan.org mengesahkan bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas petrol dan diesel.

Mengikut laporan, pengesahan ini dibuat oleh Ishak Daud, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam dan Eksais dalam satu taklimat GST anjuran Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) minggu lalu.

"Ini mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak," ujarnya dalam satu kenyataan. 

Katanya, pada kadar GST 6%, harga seliter petrol selepas ini adalah RM2.27 sen. 

Menurutnya, jika seorang pengguna biasa dianggarkan menggunakan 80 liter seminggu bersamaan 320 liter petrol sebulan, kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini bermakna bil petrol satu isi rumah biasa akan meningkat sebanyak RM50 sebulan. 

Pada masa yang sama, ujarnya kenaikan harga minyak ini juga akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain. 

Akhirnya, kata beliau bebanan bulanan setiap isi rumah akan bertambah dan dianggarkan sekurang-kurangnya meningkat RM100 sebulan (kenaikan terus harga minyak dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain) bagi setiap isi rumah di kawasan bandar dan separa bandar. 

"Saya juga telah menyatakan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan melaksanakan penarikan balik subsidi minyak dengan menghadkannya kepada golongan tertentu dan sebahagian pengguna akan terpaksa membayar harga penuh tanpa subsidi," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan. 

Beliau dimaklumkan keputusan itu telah dibuat tetapi belum dilaksanakan sementara memuktamadkan syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menaiktaraf semua pam minyak bagi tujuan ini.

Sudah tentu apabila ini juga dilaksanakan, katanya bebanan akibat kenaikan harga minyak itu adalah lebih tinggi dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang menyusul juga lebih tinggi. 

Tambahnya, pada ketika pegawai-pegawai Jabatan Kastam dan Eksais telah mula mengesahkan mengenai kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini, Najib masih diam seribu bahasa dan mahu berahsia. 

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Najib mengesahkan dengan segera bahawa harga minyak akan naik dengan pelaksanaan GST dan berterus terang dengan rakyat. 

Pada masa yang sama, beliau seru seluruh rakyat Malaysia menzahirkan bangkangan mereka kepada kenaikan harga minyak ini melalui laman-laman sosial terlebih dahulu sebelum disusuli dengan protes yang lebih besar. - HARAKAHDAILY 15/9/2014

Tuesday, 2 September 2014

UNIT AMAL KEBANGGAAN PAS


"Beramal Kerana Allah!" Demikian tema tersemat kuat menjadi cinta disanubari setiap anggota 'Tentera Merah' Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS atau masyhur dikenali sebagai Unit Amal.


Di mana jua program PAS, anggota Unit Amal setia menjalankan tugasannya mengkoordinasi kawalan sekitar tempat aturcara dijalankan dan bekerja di bawah kepatuhan serta ketaatan disiplin tinggi. Hingga apabila mereka 'dilepaskan' untuk berada di medan masyarakat, anggota Unit Amal baik secara individu mahupun pasukan sentiasa mudah dan sedia menghulurkan khidmat mereka.


Tanpa biaya, tidak menghitung masa, biarpun ditimpa hujan dan panas, pada sebarang tekanan dan hambatan, mereka adalah murabitun yang menyerahkan segala keringat demi terlaksananya amanah parti ke atas rakyat. Merekalah pejuang tanpa nama yang menjulang PAS untuk diterima setiap lapisan masyarakat. Selayaknya mereka itu dikait dengan pujian Nabi SAW sebagaimana sabda Baginda:

"Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendalian kudanya di jalan Allah, rambutnya kusut kedua kakinya berdebu, jika sedang mengawal tetap dalam pengawasan, jika di bahagian perbekalan tetap di menjaga perbekalan…" (Riwayat Bukhari)


Dalam melaksanakan rutin tugasan, kolaborasi bersama pihak lain diatur serapinya sebagai pasukan sokongan yang menyempurnakan hingga terlahir damai dan sistematik pada setiap program berkaitan. Di mana, pada satu uniform meroon itu, merekalah doktor, jurutera, bomba mahupun pekerja bandaran. Serba serbi mesti mahupun boleh dilakukan dalam rangka meninggikan kalimah Allah menerusi kerja-kerja parti.


Seluruh organisasi PAS sangat berbangga memiliki Unit Amal sebagai tenaga yang padu, cekal dan gagah lagi mesra. Kini mereka bakal diuji dengan label naif musuh-musuh politik PAS yang cuba mencampakkan mereka dengan kesalahan rekayasa. Inilah masanya seluruh ahli PAS menzahirkan kebersamaan kasih sayang kepada Unit Amal.


Saya menyeru kita menyokong mereka dengan memakai tshirt meroon Unit Amal secara kerap setiap masa dan tempat sepanjang bulan ini. Disamping itu kita meningkatkan doa kita kehadrat Ilahi agar Dia melindungi dan merahmati atas keikhlasan yang anggota Unit Amal telah, sedang dan akan berikan untuk negara dan dunia ini.


BERAMAL KERANA ALLAH

Salam Perjuangan,

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia