Tuesday, 12 August 2014

Segera Tubuhkan Suruhanjaya Khas, Kemuka Syor Pemulihan MAS

kuala lumpur ir khairil nizam khirudin dipilih sebagai ketua dewan ...

12 Ogos 2014 / 14 Syawal 1435H

Kerajaan diminta segera memaklumkan keputusan semasa berhubung Pelan Pemulihan Penerbangan Malaysia (MAS) yang kini mendapat perhatian utama dikalangan pemegang saham minoriti syarikat penerbangan itu.

Semalam, laporan akhbar memaklumkan saham MAS meningkat 8.33 peratus ekoran tindakan syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional yang menguasai 69.3 peratus kepentingan dalam MAS membeli baki saham yang tidak dimilikinya.

Tindakan ini masih menimbulkan tanda tanya apakah sebenarnya motif utama pemilikan sepenuhnya saham MAS dan menyusun semula syarikat penerbangan itu. Berdasarkan kenyataan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, MAS masih mempunyai modal yang mencukupi untuk kelangsungan 12 bulan operasinya, namun pelan seterusnya masih belum dijelaskan.

Khazanah perlu memperincikan opsyen-opsyen yang telah diambil bagi memulihkan syarikat berkenaan. Ini kerana ia mungkin akan melibatkan lebihan suntikan dana oleh kerajaan terhadap MAS atau syarikat itu akan memfailkan kebangkrapan.

Sepertimana yang kita maklum, MAS berhadapan dengan kerugian besar tiga tahun berturut-turut. Malah, sepertimana yang dilaporkan MAS mengalami kerugian bersih RM 443 juta dalam suku tahun pertama 2014 dan dianggarkan kini mencecah RM 7 juta sehari. Maka, perkara ini perlu dijelaskan secara telus dan yakin termasuk opsyen untuk menswastakan syarikat itu.

Sementara itu, saya turut mencadangkan agar pembentukan satu Suruhanjaya Khas yang dianggotai oleh subject matter experts (SMEs) dari pihak kerajaan dan pembangkang bagi mengkaji dan mengemukakan syor-syor yang konkrit bagi mengatasi kemelut yang berlaku. Ini kerana usul untuk membahaskan MAS pernah ditolak di Dewan Rakyat pada bulan Jun yang lalu. Malah, pihak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara enggan menyiasat kerugian yang dialami oleh syarikat penerbangan itu.

Suruhanjaya Khas ini dijangka boleh meneliti faktor sebenar pemasalahan yang berlaku meskipun MAS mampu mencatatkan perolehan yang tinggi tahun lalu. Walaupun, tren kerugian ini turut dialami oleh syarikat-syarikat penerbangan serantau, saya menjangkakan terdapat beberapa kos operasi yang boleh dipertikaikan.

Penubuhan Suruhanjaya Khas ini juga diharap mampu menjadi medium yang efektif untuk menyelesaikan kemelut MAS dan Kesatuan Sekerja Kakitangan MAS (MASEU). Ini penting kerana nasib 20,000 kakitangan masih belum dapat dipastikan menerusi Pelan Pemulihan Penerbangan Malaysia ini.

Yang Benar,   
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin, 
Naib Ketua Pemuda, 
Dewan Pemuda PAS Malaysia

______________________________

Like Page Rasmi Ir Hj Khairil Nizam Khirudin | Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan  
                                        
www.facebook.com/ir.khairilnizamkhirudin
                                    
Like page rasmi Dewan Pemuda PAS  Wilayah Persekutuan

www.facebook.com/pemudawilayah

No comments:

Post a Comment