Thursday, 28 August 2014

Sarawak Perlu Penambahan Kerusi DUN dan Parlimen


Kami ingin memberikan pandangan mengenai kenyataan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Datu Takun Sunggah untuk memulakan pelaksanaan persempadanan pada bulan Disember, yang terakhir pada tahun 2001 menghasilkan 9 kerusi tambahan. "Kali ini, mungkin ada lebih daripada sembilan (kerusi), atau ia boleh menjadi kurang. Ia semua bergantung kepada SPR, "katanya kepada Utusan Borneo baru-baru ini. Sarawak mempunyai 31 Kawasan Parlimen dan 71 Kawasan (DUN) Dewan Undangan Negeri dan luas kawasan Sarawak ialah 124,449 Kilometer Persegi hampir sebesar semenanjung Malaysia.

 


SPR akan memulakan persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi parlimen dan DUN di seluruh Malaysia bermula awal tahun 2014. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu persempadanan bahagian pilihan raya perlu dilakukan setiap 10 tahun sekali berlandaskan kepada keadaan geografi dan topografi sesuatu kawasan, tahap pembangunan, demografi, kemudahan asas dan komunikasi serta kemampuan Kerajaan (Negeri dan Persekutuan) untuk menampung kos yang terlibat dengan penambahan kerusi DUN dan parlimen

 


Kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan 

Negeri adalah merupakan salah satu daripada tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan. Setiap bahagian pilihan raya harus mengandungi sebilangan pemilih yang tinggal di kawasan yang boleh dikenal pasti.

 


[Persempadanan semula bahagian-bahagian Negeri Sarawak seperti yang dicatit oleh SPR]

Tahun 1968 P 24 N 48

Tahun 1977 P 24 N 48

Tahun 1987 P 27 N 56 Tambahan P 3 N 8

Tahun 1996 P 28 N 62 Tambahan P 1 N 6

Tahun 2005 P 31 N 71 Tambahan P 3 N 9

 


Kalau mengikut rujukan diatas, Sarawak memang memerlukan lebih banyak kawasan Parlimen dan kawasan (DUN) Dewan Undangan Negeri yang baru untuk memudahkan pentadbiran dijalankan dengan baik dan lancar. Walaupun penduduk Sarawak tinggal secara bertaburan dan  jauh dari kawasan bandar,  perkara ini perlu dikaji semula untuk memenuhi keperluan penduduk tersebut agar mereka juga dapat menunaikan hak mereka sebagai pemilih.

 


Kita ambil contoh kawasan DUN Senadin yang mempunyai penduduk yang padat dan pengundi melebihi 30 ribu orang perlu dipisah menjadi dua kawasan DUN.  DUN Senadin yang meliputi kawasan lokaliti Kuala Baram, Senadin, Tudan, Permyjaya termasuk juga kawasan Lopeng, Tanjung Lobang, Luak dan Riam sepatutnya dipisahkan mengikut lokaliti kawasan masing-masing. Lokaliti kawasan Lopeng, Riam dan Luak adalah terpisah oleh DUN Piasau dan DUN Pujut. Kepadatan penduduk di kawasan Lopeng, Riam, Luak termasuk kawasan perumahan baru di jalan lapangan terbang Miri sudah cukup untuk menjadi ianya sebuah DUN baru bagi Sarawak.

 


Perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak SPR untuk menjadikan kawasan yang ramai penduduk dipecahkan mengikut lokaliti dalam kawasan yang padat dengan penduduk agar memudahkan pihak berkuasa memberi kemudahan asas kepada kawasan tersebut. Mungkin banyak lagi kawasan-kawasan baru bagi DUN dan Parlimen untuk Sarawak dikaji semula sebelum Pilihanraya umum ke-11 yang akan tamat tempohnya dalam bulan Jun 2016.

 


Dengan penambahan kerusi untuk DUN dan Parlimen akan menjadikan Sarawak mempunyai DUN dan Parlimen terbanyak dalam Malaysia sekiranya perkara ini menjadi kenyataan. Kita mengesa pihak SPR dapat menjalankan tugas dengan amanah dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik agar rakyat dapat memilih wakil rakyat tanpa sebarang unsur yang boleh memecah belahkan perpaduan dalam negara ini. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk melaksanakan tugas ini dengan berkesan amat dihargai.

 


Jofri Jaraiee

PAS Sarawak

No comments:

Post a Comment