Wednesday, 27 August 2014

PENGHARAMAN PUKAT TUNDA PERLU OBJEKTIF


27 Ogos 2014

Masyarakat antarabangsa telah lama membincangkan pengharaman pukat tunda kerana ia menjejaskan ekosistem dan kerosakan habitat ikan.


Seorang penyelidik di Institut Zoologi London, Dr. Alex Rogers pernah membentangkan hasil kajiannya di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekitar tahun 2006 untuk menyeru negara-negara mengharamkan aktiviti pukat tunda tersebut. Daripada hasil kajian beliau, Amerika Syarikat, Australia, Brazil dan Jerman adalah antara negara yang menyokong pengharaman tersebut.


Persatuan Pengguna Pulau Pinang juga telah menyuarakan gesaan yang sama kepada kerajaan sejak tahun 2011. Malah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani juga telah bersetuju untuk menjalankan kajian terperinci berhubung perkara ini pada tahun 2013. Kemudian, pada awal bulan yang lalu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan pula menyatakan bahawa pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyelia kajian mengenai pemasalahan ini.


Mengapa perkara ini lewat diselesaikan oleh pihak kementerian walhal kita sedang berhadapan dengan masalah bekalan ikan di pengairan yang semakin mengecil dan krisis makanan ekoran daripada kegiatan pukat tunda tersebut? Terdapat beberapa isu utama yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat ini dengan segera bagi memastikan kelangsungan bekalan ikan di negara ini terjamin.



Pertama, penguatkuasaan lebih tegas perlu dilakukan untuk menahan dan mengenakan tindakan terhadap kira-kira 600 vesel nelayan pukat tunda yang menceroboh Zon A setiap tahun kerana melanggar Akta 317 (Akta Perikanan 1985). Secara purata hampir 175,000 tan metrik anak ikan ditangkap dalam setahun oleh nelayan pukat tunda. Tindakan tegas juga perlu dilakukan terhadap vesel-vesel pukat tunda asing yang menceroboh kawasan pengairan khususnya di Sarawak.


Kedua, Kerajaan digesa untuk menguatkuasakan larangan vesel pukat tunda yang menggunakan saiz mata di bawah ukuran 38 milimeter khususnya di Zon B dan Zon C. Kita perlu mencontohi negara-negara ASEAN yang lain yang telah menetapkan penggunaan baru bersaiz 60 milimeter. Buat masa ini, agak sukar pengharaman dilakukan secara total kerana ia boleh menjejaskan industri perikanan negara. Pendaratan ikan yang disumbangkan oleh pukat tunda merangkumi kira-kira 47.96% daripada 1.47 juta tan metrik setahun.


Ketiga, siasatan perlu dilakukan secara terperinci mengenai korelasi permintaan terhadap anak-anak ikan dan keperluannya di dalam sektor industri akuakultur. Sekiranya hasil pengeluaran industri akuakultur yang digunakan untuk makanan mencecah hampir sejuta tan metrik setahun daripada sumber itu, maka sudah tentu permintaan terhadap anak-anak ikan juga akan tinggi. Ini secara tidak langsung menyukarkan proses pengharaman ini. Maka, mekanisme bio teknologi alternatif yang efisyen perlu diwujudkan bagi memenuhi permintaan industri akukualtur tersebut.


Pengharaman pukat tunda perlu dilakukan secara objektif. Perkara asas yang perlu dititikberatkan ialah bekalan ikan dan krisis makanan di negara ini. Ia perlu dikonservasi secara bijak tanpa menjejaskan pendapatan para nelayan di negara ini. Oleh yang demikian, kajian ini perlu disegerakan tanpa bertangguh memandangkan lebih sedekad ia telah disuarakan oleh pelbagai pihak.


Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a comment