Monday, 4 August 2014

KENYATAAN MEDIA IKATAN ILMUAN NASIONAL (ILMUAN) KEMELUT POLITIK SELANGOR – JADIKANLAH RAKYAT SEBAGAI KEUTAMAAN TERTINGGI

Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada tenaga akademik dan profesional yang memartabatkan budaya ilmu di dalam masyarakat, merasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berkaitan kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sekarang.

Berlaku satu senario mutakhir ini dilihat berlaku berikutan ada beberapa orang kepimpinan parti politik khususnya di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat – PKR, PAS dan DAP – seperti tidak mencapai kata sepakat, bahkan mewujudkan suatu persepsi adanya pertelagahan dalam isu jawatan Menteri Besar Selangor, iaitu usaha untuk menggantikan menteri besar sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Senario ini, tidak dapat tidak, akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan Negeri terpenting di Malaysia ini, yang mana menyumbang lebih 23% kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dan sudah tentu menimbulkan keresahan para pegawai kerajaan, para pelabur dan rakyat awam. Persepsi ini merupakan suatu kemelut politik yang memerlukan penyelesaian segera agar kepentingan masyarakat bukan hanya di dalam Selangor, bahkan juga di luar Selangor tidak mengganggu-gugat sehingga menjadi permasalahan yang semakin membesar.

Maka Ilmuan merasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan sebagai panduan kearah menyelesaikan kemelut ini menggunakan kaedah yang berasaskan kelimuan (data dan fakta) sebagaimana berikut;

Menggesa dengan penuh ketegasannya agar pimpinan parti-parti politik berkenaan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan yang tertinggi, mengatasi kepentingan organisasi masing-masing, apatah lagi kepentingan peribadi mana-mana tokoh.

Menjadikan Saranan 1 diatas sebagai premis, maka hasil pelbagai kajian yang dilakukan pelbagai pihak mengikut kaedah pengkajian yang betul, antaranya ialah Kajian oleh Astro-Awani, Kajian PBT Selangor, Kajian UNISEL, Kajian UMCEDEL, Universiti Malaya serta kajian media sosial yang boleh diterima seperti pollsurvey.com,
serta beberapa kajian terdahulu yang berkaitan, seperti contoh oleh Merdeka Center, perlu dijadikan sebagai asas utama dalam pengambilan sebarang keputusan oleh pihak parti politik berkenaan.

Maklumat kajian-kajian tersebut menunjukkan kedudukan populariti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim amat konsisten dan seiring dengan kehendak rakyat awam Selangor. Oleh sebab itu, ILMUAN menggesa agar maklumat kajian tersebut tidak dikesampingkan, malah perlu diterima dengan sejujur-jujurnya dalam mempertimbang untuk mengganti atau mengekalkan MB sedia ada.

(Ilmuan tidak berhasrat memperincikan hasil-hasil kajian tersebut dalam Kenyataan Media ringkas ini)

Menggesa pihak pemimpin pembangkang di Selangor, khususnya di kalangan UMNO, agar tidak mengambil kesempatan yang hanya membawa kepada kerugian di pihak rakyat sekalipun keuntungan di pihak mereka, dengan menambahkan lagi kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

Benar-benar merayu kepada pihak-pihak berkenaan agar tidak sekali-kali memilih langklah penyelesaian melalui sebuah pilihan raya semula atau snap election. Jika pilihan raya semula Negeri Selangor berlaku, pasti menyusahkan rakyat awam dan menimbulkan beban kewangan kerajaan, malah tidak menghormati mandat rakyat yang baru berusia setahun lebih itu. Harus diingat, pilihan berpilihan raya semula mungkin akan menyemarakkan budaya politik gelojoh dan emosional yang menjauhkan masyarakat Malaysia dari bergerak ke arah sebuah masyarakat yang matang dalam bersosio-politik.

Pimpinan politik hendaklah merasa bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat ke arah budaya bersosio-politik yang matang, dan tenang berasaskan budaya keilmuan, yang sepatutnya menjadi amalan dalam sebuah masyarakat sivil.

Jika pilihanraya Negeri Selangor terpaksa diadakan juga, maka kami Ilmuan menggesa rakyat Selangor amnya dan para pengundi khasnya agar mengambil iktibar dari senario kemelut yang ada sekarang ini dengan menggunakan kuasa yang ada pada mereka sebagai pemilih yang sah, dengan memilih parti politik pemerintah serta kepimpinannya yang benar-benar meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan mereka, yang amanah, berani dan jujur berkhidmat untuk rakyat tanpa budaya politik melampau.

Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) berharap agar sedikit pernyataan di atas dapat menjadi salah satu panduan berguna untuk kesemua pihak terlibat khasnya Parti Politik Pemerintah Selangor, dan Rakyat Awam Selangor, dalam mengambil sebarang keputusan serta tindakan seterusnya, berkaitan kemelut kepimpinan kerajaan Negeri Selangor yang sedang berlaku mutakhir ini.

MAZLI NOOR
Timbalan Presiden, Ilmuan
Bangi, Selangor Darul Ehsan.

No comments:

Post a Comment