Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LA PPM) akan turut memainkan peranan penting dalam membantu umat Islam di Gaza, Palestin yang sedang menderita diserang oleh rejim Zionis Israel dengan mengusahakan menghantar sukarelawan ke Gaza.
Misi kemanusiaan ini akan disasarkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, atau dalam bulan Ogos 2014 nanti. PPM melalui Jabatan Profesional Muda akan menyediakan pasukan perubatan terdiri dari kalangan doktor dan pembantu perubatan yang terlatih dalam menghadapi misi sukar ini. Selain mereka, peralatan seperti ubat ubatan, makanan, pakaian, kewangan dan lain-lain turut dibawa bersama.
Misi ini akan diketuai sendiri oleh Sdr Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Al Hiss, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PPM bersama beberapa orang Exco PPM yang lain. Untuk itu, LA PPM mensasarkan kutipan sebanyak RM 500,000 akan berjaya dikutip dalam roadshow PPM di negeri-negeri. Kutipan itu nanti akan diserahkan terus oleh Sdr Suhaizan Kaiat, kepada wakil penduduk Gaza.
Apa yang diharapkan, misi ini sebagai melahirkan rasa simpati dan kebersamaan rakyat Malaysia terhadap umat Islam Gaza yang dizalimi oleh rejim Israel. Semoga ia juga membuka mata pemimpin negara umat Islam agar bangkit menentang kekejaman rejim melalui pelbagai tindakan agresif sebagai menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini.
Dalam keberkatan bulan Ramadan ini, LA PPM mengajak umat Islam di negara ini akan memperbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya perjuangan umat Islam Gaza diberikan kemenangan oleh Allah SWT. LA PPM juga memohon doa umat Islam agar misi ini berjaya dengan keseluruhan pasukan ini selamat sampai dan pulang ke negara selepas tamat misi ini kelak.
DR RAJA AHMAD AL HISS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment