Pemuda PAS Malaysia (PPM) mendesak penjelasan daripada Kementerian Pendidikan berhubung dakwaan bahawa Profesor Datuk Dr. Mohamad Redzuan Othman di arahkan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel). Kontrak beliau sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya juga tidak diperbaharui tanpa alasan yang kukuh.
PPM mempersoalkan apakah tindakan ini dibuat kerana tekanan politik ke atas beliau setelah banyak kajian beliau menyebelahi rakyat dan bukannya kepada pihak pemerintah UMNO-BN? Apakah kerana kebebasan dan keterbukaan yang diamalkan oleh Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan menyebabkan beliau tidak disenangi oleh pihak tertentu yang takutkan kebenaran?
PPM merasa kesal kerana keputusan dibuat secara tergesa-gesa ke atasnya sedangkan Prof Datuk Dr. Mohamad Redzuan merupakan seorang yang amat cemerlang dalam tugasannya. Tidak ada alasan bagi menamatkan tugasannya ketika ini kerana beliau telah membuktikan kejayaan dalam lapangannya. Banyak hasil kajiannya menjadi bahan rujukan dan perbincangan akademik tokoh, pemimpin dan parti-parti politik. Kerana ketokohan beliaulah berjaya menjulang UM antara universiti terunggul di negara ini.
Sepatutnya tokoh hebat ini terus diberikan peranan, malah diangkat sebagai tenaga pakar penting dalam UM. Atas jasa dan sumbangannya juga pendidikan politik rakyat semakin bertambah, parti-parti politik mencuba pelbagai pendekatan baharu bagi memenangi pengundi di samping menerima kritikan-kritikan yang membina. Bukan senang mencari seorang ilmuan yang hebat dalam kerjayanya, berpengetahuan dan pengalaman luas, mempunyai kredibiliti, karisma dan ketokohan seperti beliau. Bahkan UMcedel antara badan bebas yang mendapat kepercayaan rakyat, kajiannya diyakini benar dan dijadikan asas kepada semua pihak.
Tindakan ke atas Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan menjatuhkan reputasi UM sendiri selain integriti kerajaan di mata rakyat. Sejarah UM pernah kehilangan akademia hebat seperti Prof Jomo, Dr Chandra Muzaffar, Dr Terence Gomez dan lain-lain kerana tekanan politik sedangkan dunia mengiktiraf kesarjanaan mereka.
PPM menegaskan UM tidak perlu menjadi pak turut kepada mana-mana arahan yang tidak memberi kebebasan akademik. Bidang akademik perlu berdiri sendiri dengan reputasi dan kredibiliti tersendiri tanpa campur tangan politik oleh mereka yang berkepentingan.
SUHAIZAN KAIAT
Ketua Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment