Wednesday, 2 July 2014

SAIZ KABINET XXL, APA JAMINAN LEBIH BERKESAN?


Ketika Narendra Modi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri India yang Ke-15 pada 26 Mei 2014 lalu, hanya 23 orang menteri telah dilantik. Lebih kecil berbanding kabinet yang diterajui oleh Manmohan Singh sebelum ini iaitu 28 orang.

Lima aspek yang dianalisa oleh penganalisis politik berhubung keanggotaan kabinet tersebut iaitu perwakilan wanita yang lebih besar, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh para menteri selepas pengumuman jumlah aset yang dimiliki, latar belakang pendidikan, barisan kepimpinan pemuda dan hubungan keluarga antara menteri-menteri kabinet.

Bharatiya Janata Party (BJP) telah memenangi majoriti besar dengan mengagendakan manifesto 'Minimum Government and Maximum Governance". Kini, Modi dan barisan kabinetnya bersedia untuk mengurangkan hutang kerajaan, melonjakkan ekonomi negara dan menarik lebih banyak pelaburan luar ke India. Di sini wujud keprihatinan BJP dan Modi untuk memastikan kombinasi kabinet yang efisyen untuk mentransformasikan agenda baru India.

Walhal, negara - negara demokrasi berparlimen yang lain seperti United Kingdom dan Australia masing-masing hanya mempunyai 22 dan 19 orang menteri sahaja. Berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia. Ramai penganalisis politik beranggapan sebelum ini, YAB Perdana Menteri akan menstruktur kabinet supaya menjadi lebih efisyen dan efektif. Namun ternyata ia meleset. Beliau hanya menambah jumlah keanggotaan menteri dan timbalan menteri sehingga disifatkan terlalu besar (XXL) dan ini hanya satu sandiwara politik semata-mata.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan telah cuba untuk merasionalkan tindakan kerajaan tersebut dengan mendakwa kononnya kerajaan telah mengatur belanjawan dengan baik demi untuk menampung kos operasi tersebut. Nada yang sama turut dilaungkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menegaskan perbelanjaan tambahan membabitkan kos saraan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri itu hanya 0.004% daripada belanjawan tahunan Kerajaan Pusat.

Walau bagaimanapun, kerajaan harus melihat situasi kewangan negara yang semakin kritikal sekarang. Terutamanya mengenai defisit, hutang dan jaminan sosial. Disebabkan kelemahan pengurusan kewangan itu, kerajaan berpura-pura merayu untuk mengurangkan subsidi, mengenakan rejim cukai yang baru sehingga memberi impak negatif kepada harga barang dan perkhidmatan. Natijahnya, keringat rakyat yang terus diperah untuk membiayai operasi perbelanjaan mengurus kewangan kerajaan.

Mungkin kerajaan sendiri sudah lupa, pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, kerajaan telah minta untuk meluluskan sejumlah RM 4 bilion pembekalan tambahan untuk membiayai perbelanjaan mengurus. Ini mengulangi tren pada tahun 2013 yang merekodkan sejumlah RM 17 bilion telah diluluskan dengan maksud yang sama. Adakah ia akan mengulangi tindakan tidak pruden ini pada awal tahun hadapan pula?

Kelemahan yang sama berulang sepertimana yang dipaparkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang dibentangkan baru-baru ini. Lihat bagaimana sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, Inno Biologics Sdn Bhd mengalami kerugian besar dan penurunan hasil tiga tahun berturut-turut.

Rakyat dibebankan dengan pelbagai kesulitan kewangan semata-mata untuk meningkatkan hasil pendapatan negara. Tetapi, ketirisan, keborosan dan sikap tidak cermat terus dilakukan oleh kerajaan. Akhirnya, atas sandiwara politik Barisan Nasional, sekali lagi rakyat ditipu dan dibebankan. 

Yang Benar, 
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin, 
Naib Ketua Pemuda, 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

No comments:

Post a Comment