Tuesday, 15 July 2014

Risau Iskandar Malaysia, Mahathir Perlu Dedah Bukti


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyambut baik kerisauan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kedudukan Wilayah Iskandar Malaysia yang bakal dikuasai warga asing jika tiada pengawalan yang sewajarnya.

 

Menurut beliau, walaupun kerisauan Mahathir itu sudah terlewat, bekas Perdana Menteri itu perlu membuat lebih penjelasan tentang apa yang berlaku di Wilayah Iskandar sekarang.

 

"Besarnya harapan kita kepada bekas Perdana Menteri supaya beliau dapat memberikan penjelasan yang lebih lanjut tentang isu Iskandar Malaysia yang dikata tidak memberi masa depan yang lebih baik baik kepada rakyat malaysia khususnya di Johor.

 

"Adalah wajar untuk beliau terus suarakan dan kebimbangan beliau mengenai masa depan keselamatan negara yang dilanggari dalam membangunkan Wilayah Iskandar serta menyertakan bukti-bukti kepada pihak yang bertanggungjawab," jelas beliau.

 

Menurut beliau, Dr Mahathir merupakan individu yang paling layak untuk bercakap tentang soal pencabulan serta pelanggaran hak yang berlaku di Wilayah Iskandar.

 

"Saya tidak keberatan untuk menyokong jika beliau diberikan pengiktirafan sebagai negarawan ulung selaras dengan kedudukan beliau sebelum ini, tetapi beliau perlu tampil memberi pendedahan sekiranya terdapat bukti-bukti apa yang didakwanya.

 

"Beliau perlu memberi penjelasan kepada umum tentang penyelewengan yang berlaku menyebabkan pasaran tanah mewah di wilayah ini terus dikuasai bangsa asing menyebabkan kita rakyat Malaysia terus terpinggir dari pembangunan yang dibuat," sambung beliau

 

Salahuddin berharap pendedahan Dr Mahathir itu tidak hanya terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya terus membuat pendedahan baharu sama ada secara wacana ataupun di khalayak ramai agar rakyat negara ini mengetahui dengan lebih lanjut

No comments:

Post a Comment