Tuesday, 22 July 2014

MH17: Pemuda PAS Desak PBB Bersikap Telus


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertindak secara telus dalam membuat siasatan berhubung tragedi pesawat MAS MH17.

 

Ketuanya Suhaizan Kaiat juga mendesak agar PBB mengambil tindakan terhadap mereka yang merancang dan bertindak menembak kapal terbang yang membawa orang awam milik negara ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum kepada pegawai PBB  kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi (semalam).

 

Memorandum itu turut mengutuk tindakan tentera Ukraine yang seolah-olah cuba untuk menghalang delegasi daripada negara ini melakukan kerja-kerja di kawasan kejadian.

 

"Kita mengutuk juga tindakan yang menghalang kita bagi mendapatkan bukti-bukti kapal terbang itu terhempas,"katanya kepada Harakahdaily.

 

Sementara itu, wakil PBB berjanji akan menyerahkan memorandum tersebut kepada unit penyiasatan PBB di New York dengan segera mungkin.

 

Tragedi MH17 yang terhempas ditembak oleh puak pemisah dikecam hebat oleh dunia malah ramai yang menyatakan simpati terhadap keluarga mangsa yang terlibat.

 

Pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airlines penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara pada Khamis, 17 Julali lalu.

 

Pesawat malang itu ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine.

No comments:

Post a comment