Thursday, 17 July 2014

MH17: PAS Rakam Simpati, Harap Keluarga Bersabar

KUALA LUMPUR: PAS merakam simpati terhadap keluarga penumpang MH17 yang telah disahkan terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia.

 

Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, berita itu sesuatu yang mengejutkan di saat ingatan rakyat Malaysia masih segar terhadap kehilangan pesawat MH370 sejak Mac lalu.

 

"Kita melahirkan rasa sedih dan simpati kita kepada anggota keluarga yang terlibat dengan tragedi terbaru ini.

 

"Kita mengharapkan mereka bersabar dalam menerima ketentuan ini," katanya kepada Harakahdaily.

 

Bawa ke PBB

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Malaysia membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencari keadilan dan penyelesaian.

 

"Kita juga mengutuk keganasan terhadap penerbangan awam yang turut mengancam keselamatan awam," kata beliau.

 

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terputus hubungan pada kira-kira 1415 (GMT) dari waypoint Tamak, sekitar 50km dari sempadan Ukraine dan Rusia terhempas malam tadi selepas didakwa ditembak jatuh.

 

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengahari (waktu tempatan) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi Jumaat.

 

Pesawat terbabit membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal. 

No comments:

Post a Comment