Tuesday 1 July 2014

KENYATAAN MEDIA PENGGAMBARAN “NAKED AND AFRAID” : JK-PUSPAL TIDAK BERFUNGSI

Photo: Kenyataan Media  PENGGAMBARAN
Ketika pembikin filem tempatan sibuk mengutarakan isu memperkenalkan budaya serta identiti Malaysia ke seluruh dunia menerusi filem, Malaysia sebenarnya sudah berada di hati segelintir pembikin filem dunia.

Jika bukan atas dasar impak dan kualiti dari filem buah tangan anak Malaysia, setidak-tidaknya pemilihan Malaysia sebagai latar perfileman antarabangsa, sudah cukup untuk menyuntik rasa bangga semua, warganegara Malaysia khususnya.

Banyak sebabnya mengapa Malaysia dipilih sebagai lokasi penggambaran. Bukan sahaja kerana pangkalan peminat yang ramai, kepelbagaian tempat pelancongan serta budaya turut menyumbang kepada faktor Malaysia menjadi pilihan utama.

Malaysia juga telah menjadi tumpuan program realiti TV antarabangsa sejak sedekad yang lalu. Penerbit program realiti TV seperti Survivor, The Amazing Race sudah lama menjadikan negara kita sebagai salah satu platform mereka memaparkan sebahagian aktiviti realiti yang dianggotai oleh peserta-peserta dari negara asing untuk tontonan penonton seluruh dunia. 

Namun, isu penggambaran realiti TV dari negara Barat mula menjadi kontroversi apabila salah satu program realiti TV, Naked and Afraid yang dibawa khas dari Amerika Syarikat baru-baru ini telah membuat penggambaran di negara kita dengan memaparkan adegan yang menjolok mata yang tidak bersesuaian dengan prinsip moral dan etika yang wujud dalam negara kita.

Program yang diterbitkan oleh Discovery Channel ini telah memaparkan peserta lelaki dan perempuan melalui ujian survival untuk terus hidup di hutan selama 21 hari tanpa memakai sebarang pakaian langsung. 

Penggambaran ini merakamkan bagaimana peserta-peserta mencari makan minum dan tempat berlindung di hutan itu dalam tempoh tersebut yang mana dipercayai ia telah dirakam di Hutan Royal Belum, Perak baru-baru ini. Malah, video promosi ini telah pun ditayangkan di Youtube yang mana ia boleh ditonton dari segenap pelusuk dunia. 

Walaupun ia telah ditetapkan untuk tontonan rakyat Amerika Syarikat semata-mata, ia masih lagi menjadi kontroversi kerana penggambaran itu dibuat di sebuah negara yang bermajoriti penganut agama Islam yang amat menjaga adab dan prinsip moral yang tinggi.

Kerajaan Malaysia melalui Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia sebenarnya telah memiliki garis panduan yang jelas untuk mengelakkan isu ini dari berlaku. Sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk tujuan ini yang dinamakan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

Antara garis panduan untuk penggambaran dari syarikat negara luar yang ditetapkan oleh jawatankuasa ini ialah :-

• Penggambaran itu tidak bertentangan dengan dasar Kerajaan dan Rukunegara;
• Penggambaran itu tidak mengandungi perkara yang mejejaskan imej Negara, pemimpin, rakyat Malaysia, dan imej Negara Luar;
• Penggambaran itu tidak mengandungi perlakuan atau adegan yang menjolok mata,
mempromosikan produk tembakau dan/atau minuman keras, menghina dan
mempersendakan kesucian agama Islam dan agama lain di Malaysia;
• Penggambaran itu tidak menggambarkan pertelingkahan kaum, agama, kebudayaan, dan seumpamanya yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan keharmonian Negara;
• Penggambaran itu hendaklah mengelakkan penonjolan adegan kezaliman, keganasan, 
perbuatan negatif jenayah dan kemusnahan secara sengaja dan berleluasa.

Mengikut garis panduan itu tersebut juga, jawatankuasa ini berhak membatalkan kelulusan sesebuah penggambaran dari syarikat luar negara jika didapati ada pelanggaran syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Saya ingin menimbulkan beberapa persoalan berkaitan isu ini iaitu :

1. Adakah penerbit syarikat-syarikat penggambaran asing telah dimaklumkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa ini sebelum memulakan penggambaran?
2. Adakah jawatankuasa ini telah melakukan tapisan yang ketat sebelum menerima permohonan yang telah dibuat oleh syarikat penggambaran asing ini?
3. Adakah jawatankuasa ini melakukan pengawasan yang ketat untuk memastikan syarikat- syarikat penggambaran ini mengikut garis panduan yang telah dibuat setelah penggambaran bermula?
4. Adakah wujud tindakan susulan dari pihak jawatankuasa ini berkaitan penggambaran tidak senonoh oleh program realiti TV Naked and Afraid untuk mengelakkan isu ini berulang? 

Saya berasa kesal dan sedih kerana isu ini berlaku walaupun telah wujud jawatankuasa khas dan garis panduan yang jelas bagi memastikan sesebuah penggambaran di dalam negara ini dibuat dengan lunas undang-undang yang betul dan mengikut prinsip moral dan adab yang betul. Ia telah memberi gambaran bahawa seolah-olah undang –undang negara ini sewenang-wenangnya boleh diabaikan oleh warganegara asing yang melakukan aktiviti mereka di sini. 

Justeru, saya ingin menyeru pihak berkenaan supaya tidak melepaskan tangan dalam isu ini dan berusaha memastikan perkara ini tidak berlaku lagi. Amat penting bagi pihak berkenaan memastikan warga asing menghormati undang-undang di sini atau "law of the land" supaya nama dan imej baik negara dapat terjaga dengan baik.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin
Exco,
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment