KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
16 Julai 2014 / 18 Ramadhan 1435H
Pembangunan sewajarnya menjadi proses pembentukan penyusunan masyarakat ke arah meningkatkan martabat dan kualiti manusia. Pembangunan yang kurang seimbang hanya membawa kepada keciciran segelintir penduduk yang kurang bernasib baik. Membangunkan sumber material semata-mata tanpa mengambil kira nasib rakyat akan menatijahkan peminggiran dan berlaku jurang miskin dan kaya yang semakin luas.
Isu gelandangan yang dibangkitkan baru-baru ini adalah simbolik kepada ketidakseimbangan pembangunan di Kuala Lumpur. Gelandangan ini terdiri daripada mereka yang benar-benar miskin tegar, tersisih daripada keluarga, warga emas, menghidapi penyakit fizikal dan mental, dan tiada pekerjaan. Mereka harus dikategorikan berdasarkan punca gelandangan dan diselesaikan menurut solusi-solusi tertentu.
Berdasarkan maklumat terbaru, pihak DBKL akan mewujudkan rumah perlindungan untuk gelandangan di sekitar Kuala Lumpur seperti konsep Anjung Singgah yang dibangunkan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berpendapat, pihak kementerian termasuk pihak berkuasa negeri dan pertubuhan bukan kerajaan boleh mengenal pasti mekanisme khusus untuk projek selamatkan golongan gelandangan seluruh negara.
Antara yang boleh dicadangkan oleh DPPWP ialah pelaksanaan projek pembangunan tanah wakaf untuk tujuan sosial dan kemudahan umum. Dalam hal ini, pihak Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) boleh mengenal pasti Wakaf Am (Wakaf Mutlak) harta tetap seperti tanah dan bangunan yang boleh dijadikan pusat kebajikan dan pendidikan golongan gelandangan. Secara tidak langsung, ia boleh mengaktifkan beribu tanah wakaf yang masih tidak produktif.
Ia juga dapat meluaskan lagi dakwaan persepsi yang sempit bahawa harta wakaf hanya untuk mendirikan masjid dan sekolah semata-mata. Ini mampu menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk terus berwakaf termasuk penggalakkan wakaf tunai bagi membiayai dana pengurusan harta wakaf disamping bantuan daripada peruntukan kerajaan. Selain daripada dijadikan tempat perlindungan untuk golongan gelandangan, ia mampu menjadi platform untuk proses pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembasmian pengangguran.
Berdasarkan rekod pada tahun 2010, jumlah keluasan tanah wakaf di seluruh negara dianggarkan seluas 16,751 hektar dan bernilai RM 111.4 juta. Di Wilayah Persekutuan dan Selangor sahaja mempunyai 269.53 hektar tanah. Maka, tanah-tanah atau harta wakaf ini dapat dimanfaatkan bagi menyantuni golongan gelandangan ini.
Kita harus bersikap objektif. Tujuan membantu golongan gelandangan ini seharusnya mampu membebaskan diri mereka daripada taraf hidup sekarang ke arah kehidupan yang lebih berkualiti dan sejahtera.
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) turut ingin menegaskan bahawa pembangunan di negeri ini harus seimbang dan bukan hanya mementingkan nilai wang semata-mata.
Ir. HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS WP
No comments:
Post a Comment