Thursday, 17 July 2014

ISU PELACURAN DAN PERJUDIAN YANG BERLELUASA DI IBU KOTA


Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, pihak Kementerian Dalam Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan sewajarnya mengambil sikap pro aktif untuk membanteras pusat kegiatan perjudian dan pelacuran di seluruh negara. Ini adalah masa yang terbaik untuk bersama-sama dengan pelbagai agensi penguatkuasa bagi memerangi jenayah ini secara serius.  

 

Gesaan ini rentetan daripada pendedahan eksklusif oleh akhbar Mingguan Malaysia minggu lalu yang melaporkan terdapat kira-kira 2,000 pusat perjudian yang menjalankan lebih RM 40 juta transaksi sehari di Kuala Lumpur. Malah yang terbaru, pertubuhan badan bukan kerajaan Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan serius terhadap operasi pusat perjudian dan pelacuran yang terdapat di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur.


Sudah tentu operasi haram 'black economy' ini telah berjalan lama, mengapa tiada tindakan diambil ke atas mereka? Malah, operasi pusat-pusat perjudian dan pelacuran ini telah mula beroperasi secara berleluasa termasuk di kawasan-kawasan bandar kecil.


Jika zon sifar gelandangan boleh dikuatkuasakan, apatah lagi zon sifar pelacuran dan perjudian, mesti boleh dibanteras. Melainkan, jika pengusaha-pengusaha tersebut kebal dengan peruntukan undang-undang.


Jika kegiatan mereka ini didapati bersalah, mereka hanya akan dikenakan denda sebanyak RM 2,000 dan penjara selama setahun sahaja menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976.


Ramai rakyat tidak menolak kemungkinan bahawa operasi-operasi haram ini berkemungkinan didalangi oleh kumpulan-kumpulan elit tertentu sehinggakan mereka sukar dikenakan tindakan. Secara tidak langsung, ia telah mewajahkan gambaran sebenar status negara Malaysia sebagai antara model sebuah negara Islam yang terbaik di dunia. 


NIK MOHAMAD ABDUH NIK AZIZ

Ahli Parlimen Pasir Mas

No comments:

Post a Comment