Monday, 14 July 2014

Israel lancar serangan darat

----

Israel lancar serangan darat

Kepulan asap kelihatan di udara dari Gaza City ekoran serangan udara tentera Israel di Rafah, selatan Gaza pada 12 Julai lalu, mengorbankan 15 orang penduduk Palestin. - REUTERS
GAZA 13 Julai - Israel hari ini melancarkan serangan darat pertama ke atas Gaza apabila komando marin rejim Zionis Israel mendarat di pantai Gaza dan bertempur dengan anggota pergerakan Hamas di kawasan pantai.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata, askar Israel dibantu jet pejuang menyerang satu kawasan di utara Gaza yang dipercayai digunakan oleh Hamas untuk melancarkan roket jarak jauh ke wilayah Israel.
"Sebanyak empat komando (Israel) cedera dalam serangan tersebut, namun kami berjaya memusnahkan tempat pelancar roket (Hamas),'' katanya.
Hamas bagaimanapun berkata, pejuangnya melepaskan tembakan ke arah askar Israel dan berjaya menghalang mereka mendarat di kawasan pantai Gaza.
Lerner berkata, mereka berjaya menyelesaikan misi mereka dan serangan itu merupakan aktiviti serangan darat pertama oleh tentera laut Israel di Gaza.
Dua jam selepas pengumuman serangan darat itu yang dibuat pada kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia), Hamas melancarkan serangan roket jarak jauh dengan siren amaran dibunyikan di lapangan terbang Ben-Gurion di Tel Aviv dan beberapa bandar lain.
Lerner berkata, Israel juga menggesa beribu-ribu penduduk di Beit Lahiya, utara Gaza supaya berpindah sebelum serangan itu dilancarkan di sana.
"Berdasarkan penilaian kami kebanyakan serangan roket dilancarkan ke atas Israel adalah dari utara Gaza,'' katanya.
Tentera Israel berkata, pihaknya melancarkan 1,320 serangan ke atas sasaran Hamas. - ReuterS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140714/lu_02/Israel-lancar-serangan-darat#ixzz37WLRkL24
© Utusan Melayu (M) Bhd 

----

No comments:

Post a comment