Wednesday, 18 June 2014

TOLAK RAYUAN, KERAJAAN BOLEH TEKAN PENEROKA

KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Rakyat menolak petisyen rayuan peneroka Felda yang menuntut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan lesen pekebun kecil kepada peneroka dilihat kerajaan boleh menekan peneroka pada masa akan datang.

 

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan demikian sejurus selesai perhimpunan petisyen rayuan berkenaan kepada Dewan Rakyat di luar lobi Parlimen yang turut dihadiri 200 peneroka Felda Jengka, Keratong, Cini, Kota Gelanggi, Palong, Mempaga, Bukit Tajau, Bukit Damar, Sungai Koyan, Lurah Bilut, Sungai Tekam, Kemahang, Sungai Relang dan Kampung New Zealand.

 

"Rayuan ditolak kerana kerajaan tidak mahu melihat rakyat terutamanya peneroka memperolehi taraf hidup yang lebih baik, kerajaan mahu rakyat terus bergantung hidup kepada Felda.

 

"Kerajaan mahu tradisi kemiskinan ini berterusan agar kebergantungan hidup kepada kuasa politik dapat mereka lakukan," jelasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

 

Katanya lagi, apabila tidak mampu untuk menaikkan taraf hidup rakyat sepatutnya kerajaan perlu memberi peluang peneroka untuk menentukan kehidupan masa depan mereka.

 

"Peneroka menuntut lesen pekebun kecil untuk membolehkan mereka menjual sendiri kepada mana-mana kilang yang menawarkan harga yang tinggi dan sepatutnya kerajaan membenarkan permohonan tersebut.

 

"Ini tidak, kerajaan ingin terus mencengkam peneroka untuk melihat peneroka terus hidup dalam keadaan menaruh harap kepada pemberian kerajaan.

 

"Jelas kerajaan tidak prihatin tentang rintihan rakyat, walaupun mereka hadir merayu agar suara hati mereka didengari tetapi semuanya ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat atas alasan yang tidak munasabah," sambung beliau lagi.

 

Beliau turut menyambut baik keberanian para peneroka dalam menuntut hak mereka.

 

"Apa yang berlaku hari ini adalah satu perkembangan baik dalam sistem demokrasi, peneroka berani bangkit dalam menuntut hak mereka," kata beliau. 

No comments:

Post a Comment