-
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
18 JUN 2014 / 20 SYAABAN 1435H
SOKONGAN TERBUKA PEMUDA PAS KEPADA KESATUAN PEKERJA TNB
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyatakan sokongan padu ke atas pendirian tegas Kesatuan Persatuan Tenaga Nasional Berhad yang membantah tawaran usahasama secara runding terus (direct nego) membabitkan syarikat IPP, YTL untuk projek penjanaan tenaga "Track 4 A" di Pasir Gudang, Johor.
Pendirian pihak kesatuan TNB ini adalah selari dengan pendirian DPPWP dalam Memorandum Bantahan Kenaikan Elektrik pada tahun 2014 yang telah diserahkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air awal Januari lalu. Antara desakan yang dibuat ialah "agar pihak Kerajaan Malaysia mengkaji semula pengstrukturan industri tenaga domestik di negara ini. Kerajaan mestilah menyemak semula langkah penswastaan yang telah dilaksanakan terhadap TNB sehinggalah kepada pendedahan intipati Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bersama IPPs."
Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 juga ada terkandung teguran berkenaan Operasi Penjana Tenaga Bebas khususnya YTL Power Generation Sdn Bhd iaitu kaedah bayaran dalam syarat perjanjian tersebut secara take or pay di mana TNB perlu membuat bayaran kepada penjana tenaga sama ada TNB tidak menggunakan atau menjual elektrik.
Pihak kerajaan seolah-olah tidak pernah serik untuk membuat perjanjian berat sebelah yang menguntungkan kroni seperti YTL ini. Dahulunya, Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) generasi pertama pada 1993 dengan Syarikat YTL telah menyebabkan TNB terpaksa menanggung beban kewangan dengan membayar harga belian tenaga yang lebih tinggi dari apa yang mampu TNB janakan pada masa itu dan difahamkan kini TNB telah membayar lebih RM20 Bilion kepada Syarikat YTL.
Bagaikan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kesekian kalinya, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga telah menganugerahkan secara rundingan terus pula Projek Penjanaan Tenaga Track 4A kepada gabungan konsortium Syarikat YTL, SIPP dan TNB.
Tindakan ini jelas bertentangan dengan segala azam dan ikrar kerajaan bagi melaksanakan pembidaan secara kompetitif bagi loji janakuasa baharu sepertimana terkandung dalam laporan 'Pandangan Masa Depan Industri Bekalan Elektrik Semenanjung Malaysia 2013' yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Tenaga tahun lalu, yang telah menggariskan bahawa bidaan kompetitif adalah satu daripada inisiatif pembaharuan utama bagi Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI). Bahkan dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2013 dan Rancangan Malaysia ke-10 juga menyebut bahawa kerajaan tidak lagu bercadang untuk menggunakan rundingan terus sebagai cara penambahan kapasiti penjanaan baru.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mendakwa bahawa Kerajaan telah menimbangkan semua pilihan dan pendekatan terbaik dalam memutuskan untuk memberikan projek tersebut kepada SIPP Energy Sdn Bhd, dengan penyertaan YTL Power International Bhd dan Tenaga Nasional Bhd. Beliau juga memberikan alasan bahawa wujud keperluan menyegerakan pembinaan loji jana kuasa kitaran gas bersepadu menggunakan teknologi terbukti yang dijadualkan beroperasi pada 2020, kepada tarikh lebih awal pada 2018.
Namun, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah pun menjawab alasan ini iaitu sebenarnya kerajaan masih mempunyai masa mencukupi untuk melaksanakaan proses bidaan secara kompetitif bagi projek pembinaan Track 4A jika Notis Untuk Meneruskan (NTP) dikeluarkan pada Jun 2015 kerana Projek Track 4A itu mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan selepas NTP dikeluarkan dan ini menetapi sasaran tarikh baru iaitu 2018. Jadi, dakwaan masalah 'kekurangan masa untuk melaksanakan bidaan kompetitif' adalah tidak berbangkit sama sekali.
Di samping itu, suara bantahan daripada Kesatuan Pekerja TNB ini amat wajar didengari oleh pihak kerajaan kerana hakikatnya TNB adalah 'syarikat rakyat' dan tidak boleh berhenti memberi perkhidmatan kepada rakyat seperti hospital. Seandainya IPP terus dibiarkan memonopoli dan seterusnya mengambil alih bekalan elektrik negara, maka rakyat akan dibebankan dengan kenaikan tarif elektrik dan tidak mustahil juga penjana tenaga bebas ini berpakat melakukan sabotaj suatu hari nanti.
Justeru, pihak Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak pihak kerajaan agar menarik kembali keputusan penganugerahan projek Track 4A yang bernilai RM 4 Bilion ini kepada YTL dan membuat pembidaan secara kompetitif sepertimana yang dijanjikan oleh pihak kerajaaan selama ini. Biarlah pihak yang benar-benar layak dipilih atas faktor kemampuan mencapai syarat serta menjamin hak rakyat bukannya membuat penganugerahan atas faktor ingin mengambil hati setelah pihak tersebut tidak dipilih untuk Projek 3A yang bernilai RM 11 Bilion.
Pihak kami juga ingin menegaskan akan peri-pentingnya sebarang perjanjian yang hendak dibuat perlu jelas termanya dan mengambilkira kepentingan rakyat-jelata bukannya mengulangi kembali perjanjian berat sebelah yang menguntungkan pihak yang ingin mengaut keuntungan secara mudah sahaja. Dosa dan khianat yang dilakukan dalam perjanjian IPP generawi awal terdahulu masih segar dalam ingatan kita semua maka usahlah ditoreh kembali luka lama.
Belajarlah daripada kesilapan lama dan bertindaklah untuk mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan sepertimana yang telah dibuktikan dahulu oleh Tan Sri Ani Arope, bekas Pengerusi Eksekutif TNB yang sanggup melepaskan jawatan sebagai tanda protes terhadap perjanjian berat sebelah dengan IPP. Pihak kami amat mengalukan sekiranya Ketua Eksekutif TNB sekarang, Datuk Seri Azman Mohd mempunyai iltizam dan keberanian yang sama dalam mempertahankan kepentingan dan hak rakyat.
Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
No comments:
Post a Comment