Monday, 9 June 2014

Pemuda PAS Malaysia Bantah Tindakan Tatatertib

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
7 Jun 2014 / 6 Rejab 1435H

Pemuda PAS Malaysia Bantah Tindakan Tatatertib

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) tidak bersetuju dengan tindakan keterlaluan pihak Universiti Malaysia Sabah Labuan (UMSKAL) yang mengambil tindakan tatatertib terhadap beberapa orang mahasiswanya baru-baru ini.
 
Sekumpulan mahasiswa UMSKAL telah mengadakan himpunan aman pada 21 Februari 2014 di hadapan bangunan pentadbiran kerana membantah keputusan pihak universiti yang mengambil semula pengurusan sebuah kedai di kampus.
 
Daripada maklumat yang kami perolehi, mereka telah mengusahakan kedai (G-Shop) tersebut selama enam tahun. Kedai tersebut telah dibina pada tahun 2008 dengan tujuan untuk memberikan peluang untuk mahasiswa berniaga. Namun, pihak universiti telah mengeluarkan notis untuk mengosongkan premis dan dikatakan untuk memberi tender kepada pihak luar.
 
Pihak mahasiswa terbabit telah terlebih dahulu mengambil tindakan diplomasi untuk berunding namun tidak diendahkan. Maka, mereka terpaksa untuk berhimpun dan memberikan memorandum kepada pihak universiti.
 
DPPM mengecam tindakan pihak universiti yang mengambil tindakan keterlaluan dengan menggantung pengajian 3 mahasiswa pelajar semester akhir, 8 orang telah dibuang kolej kediaman manakala 5 orang lagi masih dalam siasatan.
 
DPPM turut menggesa pihak UMSKAL tampil memberikan penjelasan terperinci berhubung kes berkenaan. Mengapa pihak universiti ingin mengambil alih kedai mahasiswa berkenaan dan adakah pihak universiti telah menutup pintu rundingan bersama mahasiswa sebelum ini?
 
Kami menyarankan pihak universiti menyemak semula hukuman berkenaan dan kembali berunding terlebih dahulu untuk mewujudkan situasi menang-menang antara dua pihak. Diharapkan pihak pentadbiran universiti dapat membuat keputusan yang lebih rasional dan mengambil berat hak-hak mahasiswa supaya ia dapat dilayan dengan lebih adil.  

Yang Benar,   
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin, 
Naib Ketua Pemuda, 
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a comment