Friday, 27 June 2014

Muslimat PAS Bantah Mrs Universe Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Muslimat PAS Pusat menggesa kerajaan membatalkan pertandingan ratu cantik, Mrs Universe yang akan diadakan di negara ini pada penghujung Ogos nanti.

 

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pertandingan itu tidak wajar diadakan selari dengan penegasan kerajaan bahawa negara ini adalah negara Islam.

 

"Di dalam sidang parlimen yang berakhir baru-baru ini pun rata-rata ahli parlimen Umno menegaskan negara ini adalah negara Islam," katanya.

 

Bagi membuktikan negara ini sebagai negara Islam, Athirah menegaskan sepatutnya kerajaan Umno memperuntukkan beberapa perlaksanaan dasar Islam seperti hudud dan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran termasuklah soal pertandingan ratu cantik.

 

"Kita perlu sedar konflik dalam negara kita, apabila berlakunya pentafsiran yang berbeza, Umno BN mentafsirkan dengan sewenang-wenangnya kononnya bahawa negara ini negara Islam.

 

"Akan tetapi rakan-rakan sekutunya seperti MCA, MIC dan Gerakan pula tidak mengiktiraf negara ini sebagai negara islam," tambahnya.

 

Tegasnya, masyarakat sentiasa berhadapan dengan persoalan agama seperti penganjuran Mrs Universe Malaysia, siri konsert liar, artis barat tidak bermoral sedangkan ia jauh daripada konsep negara Islam sebenar.

 

"Isu pertandingan ratu cantik bukanlah isu baru, seperti yang kita ketahui bahawa bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Allahyarham Datuk Ishak Baharum dipecat dan ditamatkan kontraknya kerana membantah penganjuran program tersebut.

 

"Beliau meminta kerajaan membetulkan dasar-dasarnya, kerana strategi politik mereka tidak membantu Islam dan umat Islam, bukan hanya sekadar bercakap inginkan Islam, tetapi tidak menjalankan Islam yang sebenar," tegasnya.

 

Malah beliau turut mengingati kata-kata Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang masih ragu-ragu untuk mengesahkan negara ini sebagai negara Islam, dan hanya agama rasmi setakat di persekutuan sahaja.

 

"Oleh sebab itu kita perlu betulkan dan bezakan negara Malaysia bukan negara islam,tetapi negara majoriti umat Islam.

 

Justeru, beliau meminta kerajaan BN perlu jujur untuk bertanggungjawab membuktikan bahawa negara ini adalah negara Islam.

 

Untuk makluman, pertandingan yang julung kalinya diadakan di Malaysia ini dianjurkan oleh SOGO (KL) Department Store Sdn Bhd yang berlangsung di Sunway Resort Hotel & Spa.

 

Sebanyak 40 hingga 45 negara mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung selama lapan hari ini. Pengarah Urusan Sogo, Datuk Andrew T K Lim menegaskan bahawa pertandingan ini bersesuaian untuk mempromosikan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

No comments:

Post a comment