Wednesday, 11 June 2014

"Harga Sebuah Kebenaran: Solidariti Buat Mejar Zaidi"

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
11 Jun 2014 / 12 Rejab 1435H

"Harga Sebuah Kebenaran: Solidariti Buat Mejar Zaidi"

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melalui Jabatan Amal telah menganjurkan Majlis Solidariti bersama Mejar Zaidi Ahmad di Darul Amal, Taman Maluri, Kuala Lumpur pada malam semalam.
Para hadirin yang hadir bersama-sama membaca surah Yassin, solat Hajat dan berdoa agar Mejar Zaidi terus diberikan kekuatan dan pertolongan oleh Allah dalam menghadapi ujian yang sedang menimpa beliau.
Majlis tersebut dipimpin oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir Haji Khairil Nizam Khirudin dan turut dihadiri oleh Mejar Zaidi sendiri.

Pada perbicaraan di Mahkamah TUDM Sungai Besi semalam, beliau telah dikenakan semula lima pertuduhan daripada tujuh pertuduhan yang sebelum ini telah pun diketepikan selepas bantahan awal pembelaan, dipinda dan dibaca sebagai pertuduhan baru. Semua pertuduhan berkait dengan dakwaan beliau memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13.

Sungguhpun demikian, Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.  Tindakan pihak pendakwaan mengenakan semula pertuduhan yang telah pun diketepikan adalah jelas berniat jahat dan prejudis. Pihak peguambela, Hanipa Maidin akan memohon semakan kehakiman daripada Mahkamah Tinggi bagi membatalkan tuduhan yang dipinda itu.

Pihak Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bertekad untuk terus menyatakan solidariti sokongan dan penghargaan kepada Mejar Zaidi atas keberanian beliau bercakap benar dan tidak tunduk kepada pihak yang berbuat zalim. Beliau yang menyatakan kebenaran dikenakan tindakan sedangkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menguruskan dakwat kekal yang tidak kekal itu masih tidak dikenakan sebarang tindakan. Adakah ini dikatakan keadilan.?
Itulah harga sebuah perjuangan menegakkan kebenaran.

Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a comment