Monday 23 June 2014

ATASI MASALAH SOSIAL DAN JENAYAH DENGAN KEMBALI PADA PERUNDANGAN SYARIAH

MIRI – Kejadian jenayah seperti rompak, pecah rumah, rogol, bunuh dan culik semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Kes seperti rogol, menculik anak kecil dan dibunuh dengan kejam seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan beberapa minggu yang lalu juga mendapat perhatian orang ramai.

 

Hampir setiap hari kita membaca laporan akhbar yang melibatkan kes seperti pecah rumah, rompakan dan rogol berlaku di mana-mana dalam negara kita termasuk di bandaraya Miri. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu kes pecah rumah dan rogol seorang remaja perempuan di Miri. Masalah ini menunjukkan betapa kritikalnya masalah sosial berlaku di negara kita.  Kepesatan pembangunan sesebuah bandaraya yang tidak setara dengan pembangunan sosio-budaya dan masyarakat setempat boleh menimbulkan masalah sosial.

 

Kes-kes jenayah ini kebanyakannya berlaku di kawasan perumahan dan ini menimbulkan perasaan takut dikalangan penghuni terutama golongan wanita dan remaja perempuan yang tinggal bersendirian. Para penjenayah seolah-olah semakin berani melakukan jenayah tanpa ada perasaan takut menghadapi tindakan undang-undang jenayah sivil dalam negara ini.

 

Perkara ini perlu difikirkan bersama, mengapa kejadian jenayah yang tersebut semakin menjadi-jadi dan apakah tindakan pihak berkuasa keselamatan dalam negeri untuk mengatasi masalah ini?

 

Mengapa pengubalan undang-undang jenayah yang direka cipta oleh manusia gagal dan kurang berkesan mencegah kegiatan jenayah ini dari berleluasan.  Sudah berpuluh-puluh tahun dan bermacam-macam cara perundangan jenayah digubal tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi dengan sewajarnya.

 

Disinilah menunjukkan undang-undang manusia ada banyak kelemahannya sehingga gagal mengatasi atau mengurangkan kadar kegiatan jenayah berat dari terus berlaku.

 

Apabila ada pihak yang mencadangkan enakmen undang-undang jenayah syariah dilaksanakan dalam negara ini, hampir semua menentangnya kononnya kejam dan zalim tetapi mereka tidak sedar undang-undang Syariah menyebabkan orang ramai berasa takut dan gerun, terutama mereka yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah berat seperti rompakan, rogol, pembunuhan dan sebagainya.

 

Ada juga sesetengah pihak yang berusaha keras menentang kononnya perundangan syariah tidak adil dan boleh menyebabkan keadaan huru hara dalam negara. Kalaulah kejadian jenayah ini berlaku keatas mereka dan keluarga mereka, barulah mereka sedar betapa kejamnya kejadian jenayah seperti rompakan, rogol dan bunuh.

 

Adakah mereka yang kuat menentang perundangan jenayah syariah ini akan berdiam diri dan membiarkan pembunuh keluarga mereka bebas dan sanggup melihat perkara ini terus berlaku tanpa ada sebarang tindakan tegas diambil keatas penjenayah tersebut?

 

Disebabkan kejahilan mereka tentang kebaikan dan keadilan perundangan syariah menyebabkan mereka terus menentang dalam keadaan mereka tidak sedar yang undang-undang syariah ini lebih baik dilaksanakan untuk pencegahan jenayah tersebut dari berleluasan.

 

Sepatutnya pihak berkuasa menggunakan media massa yang lebih luas lagi seperti radio dan TV untuk memberi penerangan tentang kebaikan akta perundangan jenayah syariah ke seluruh negara agar rakyat dapat memahami akan keadilan dan kebaikan yang terdapat dalam perundangan tersebut dari terus membiarkan pihak tertentu memburuk-burukkan hukuman jenayah syariah ini.

 

Mereka yang pakar dalam perundangan jenayah syariah patut tampil ke hadapan bersama-sama memberi penerangan dan penjelasan tentang kebaikan dan keadilan yang terdapat dalam perundangan ini, agar orang ramai dapat menerimanya dengan baik. Kata orang, kalau tidak kenal maka tidak cinta, apabila orang ramai faham tentang kebaikan dan keadilan perundangan ini maka tiada isu untuk dipolitikkan.

 

Walaubagaimana pun sementara kita membincang pasal pencegahan menurut perundangan syariah yang akan dilaksanakan, kita mengesa pihak Kementerian Dalam Negeri dapat bertindak segera mencegah kejadian jenayah dengan membina balai polis dalam kawasan perumahan atau balai polis bergerak ditempatkan di beberapa lokasi panas di negeri ini. Apabila ada balai polis bergerak dalam kawasan perumahan, sekurang-kurangnya masalah sosial dan jenayah dapat dikurangkan, kalaupun ianya belum tentu dapat mengatasi masalah tersebut secara total.

 

Pihak berkuasa sudah melakukan berbagai-bagai cara untuk mengatasi masalah ini, namum ianya tidak memberi kesan. Jadi sebaik-baik cara untuk mengatasi masalah sosial dan kegiatan jenayah adalah kembali semula kepada ajaran agama dan melaksanakan perundangan syariah.

 

Semoga masalah sosial dan kegiatan jenayah ini dapat dibendung dari berleluasan dengan kerjasama pihak keselamatan dan juga orang ramai. Harap masalah ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa dan juga pihak Kementerian dalam Negeri untuk bertindak dengan sewajarnya.

 

Jofri Jaraiee

PAS Miri, Sarawak

No comments:

Post a Comment