Tuesday, 17 June 2014

ANGGOTA KESELAMATAN TERLIBAT MEROGOL : KESELAMATAN NEGARA KIAN PARAH

ANGGOTA KESELAMATAN TERLIBAT MEROGOL : KESELAMATAN NEGARA KIAN PARAH
(17 Jun 2014)

Kes seorang gadis berusia 14 tahun dirogol oleh enam anggota tentera di pantai Pontian Besar beberapa pada 13 Jun 2014 yang lalu amat menggemparkan. Tiga daripada anggota tentera terbabit didapati positif dadah. Isu ini mengulangi kes jenayah dan perlakuan kejam iaitu rogol beramai-ramai ke atas wanita, dan kali ini anggota tentera yang didapati melakukannya. Masyarakat seakan-akan tidak peduli bahawa mangsa serangan seksual adalah wanita, seorang gadis yang tidak berdaya manakala pelakunya adalah beberapa orang yang ganas dan buas.

Isunya adalah bagaimana kes rogol gadis oleh sekumpulan lelaki secara beramai-ramai menjadi begitu viral dalam masyarakat. Lebih dari itu, bagaimana kes jenayah dapat dibendung dalam negara ini, jika yang melakukannya adalah pelindung atau pengaman keselamatan negara? Kes ini pastinya amat memalukan institusi keselamatan negara kerana pelaku jenayah adalah anggota tentera. Mereka secara beramai-ramai menangkap seorang gadis bawah umur yang tidak berdaya dan merogol gadis tersebut, bahkan mereka juga didapati positif dadah. Apakah golongan seperti ini layak menjadi pasukan pengaman dan menjaga keselamatan negara? Sepatutnya mereka yang menjadi pelindung orang awam, mewujudkan keamanan dan ketenteraman masyarakat, bukannya menambah kebimbangan rakyat dengan mengambil kesempatan di atas kelemahan insan lain. 

Jenayah di negara ini tidak mungkin surut atau susut andai pihak keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera dan lain-lain tidak menunjukkan teladan yang baik. Kebimbangan rakyat kini bukan lagi penjenayah yang berlegar dari kalangan orang awam di merata tempat, tetapi juga terhadap anggota keselamatan negara. Tidak ada jaminan tiada siapa terlepas dari menjadi mangsa keganasan atau jenayah di mana sahaja oleh sesiapa sahaja, termasuk pasukan keselamatan. Jika begitu, kepada siapa pula masyarakat boleh berlindung?

Jika kerajaan mengambil perhatian isu jenayah seksual ke atas wanita terutama kes rogol beramai-ramai, maka kes yang berlaku ke atas gadis berusia 14 tahun di Pontian Besar perlu diberi perhatian khusus. Anggota tentera terbabit, selain digantung atau dipecat mereka juga perlu diambil tindakan keras, kerana menjatuhkan reputasi dan imej pasukan keselamatan negara. Bahkan, modul dan peraturan khusus perlu dibuat dengan memberi amaran keras kepada mana-mana anggota keselamatan – daripada polis, tentera, Pasukan Gerakan Am, dan lain-lain unit agar menjadi contoh yang baik kepada masyarakat. Harapan rakyat agar kes seumpama ini adalah yang terakhir berlaku dan Kementerian Dalam Negeri juga Kementerian Pertahanan perlu mengambil pengajaran supaya anggota pasukan keselamatan bertindak jujur, berakhlak baik, tangkas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Tidak ada maaf kepada mana-mana anggota keselamatan yang masih bertugas atau dalam perkhidmatan jika ditangkap atau terlibat dengan jenayah. 

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli jawatankuasa PAS Pusat

No comments:

Post a comment