Thursday, 15 May 2014

UNIVERSITI BUKAN TEMPAT MELAHIRKAN PAK TURUT

KENYATAAN MEDIA 
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA
PEMUDA PAS MALAYSIA
BERTARIKH: 16/5/2015

Saya ingin melahirkan rasa kesal terhadap insiden yang berlaku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada malam 14/5/2014 di mana pihak keselamatan universiti telah bertindak mengunci pintu dewan bagi menghalang perjalanan forum bertajuk "Hudud: Kefahaman Sebelum Perlaksanaan".

Saya telah dijemput oleh Persatuan Mahasiswa Imu Wahyu UIAM untuk menjadi ahli panel forum tersebut yang dibuka kehadiran kepada seluruh warga UIAM. Namun setelah saya hadir ke dewan kuliah yang menjadi lokasi penganjuran forum tersebut, saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa pihak keselamatan UIAM pada saat akhir telah bertindak mengunci pintu dewan walaupun pelbagai persediaan dan kelengkapan dewan telah disediakan oleh pihak penganjur.

Akibat daripada itu, pihak penganjur terpaksa menghampar tikar di luar dewan kuliah untuk meneruskan sesi forum tersebut memandangkan ramai hadirin yang telah hadir. 

Saya telah dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa program ini sebenarnya telah pun diluluskan oleh pihak pentadbiran universiti. Justeru, tidak timbul isu keesahan program ini hingga membawa kepada tindakan mengunci pintu dewan sedemikian.

Saya lebih kesal dengan pihak pentadbiran UIAM apabila pihak penganjur memaklumkan bahawa alasan yang diberikan oleh pegawai keselamatan tersebut adalah kononnya nama saya telah disenarai-hitam oleh pihak polis. Saya ingin menegaskan bahawa alasan oleh pihak pentadbiran UIAM ini adalah suatu fitnah yang jahat dan bertujuan untuk menghina saya. Saya pohon pihak universiti untuk menunjukkan bukti bahawa saya telah disenarai-hitam oleh pihak polis sedemikian rupa. Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah dituduh atau didakwa di mahkamah mahupun ditahan oleh pihak polis untuk sebarang kes jenayah. Justeru, apa justifikasi pihak universiti bagi menafsirkan saya telah disenarai-hitam oleh pihak polis?

Justeru, saya percaya alasan yang diberikan tersebut adalah alasan yang tidak munasabah, bersifat menghukum, pra-matang, tidak berasas dan bersalahan dengan undang-undang. Sebaliknya, ia hanyalah alasan yang bersifat afterthought' (terfikir kemudian) semata-mata demi menghalang forum tersebut daripada diadakan.

Lebih malang, saya dimaklumkan bahawa satu lagi forum yang membincangkan tentang hudud di UIAM turut dibatalkan pada malam tadi di mana kejadian ini berlaku di sebuah universiti yang digelar Taman Ilmu dan Budi. Saya amat hairan mengapakah pentadbiran UIAM berasa paranoid mengenai topik hudud ini tatkala subjek hudud turut diajar kepada mahasiswa undang-undang syariah di UIAM sendiri.

Seharusnya, universiti merupakan tempat untuk melatih intelektual mahasiswa dan forum sebegini seharusnya diperbanyakkan bagi membentuk nilai diri mahasiswa yang seimbang antara intelektual dan rohani; bukan menjadi pak turut. Ia adalah sepertimana yang diputuskan di dalam kes Muhammad Hilman Idham & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors [2011] 9 CLJ 50, di mana Mahkamah Rayuan menyatakan "Universiti-universiti sepatutnya menjadi tempat memupuk ahli-ahli reformasi dan para pemikir dan bukan institusi-institusi yang melahirkan pelajar-pelajar yang dilatih sebagai robot-robot".

Saya ingin menyatakan bahawa tindakan pihak universiti sedemikian tidak sekali-kali akan menghalang gelombang anak muda yang cintakan ilmu. Malah, ia lebih menyemarakkan lagi semangat anak muda untuk terus ke hadapan bagi mencari kebenaran.

Justeru, saya mengucapkan syabas kepada anak-anak muda yang tetap bersemangat dan meramaikan majlis forum malam itu dengan tidak berganjak walau ditekan dengan pelbagai cara oleh pihak pentadbiran. Ia bukti bahawa anak-anak muda kini adalah celik undang-undang dan bukanlah pak turut yang gentar dengan ugutan murahan. Syabas anak muda!

NOORAZMIR ZAKARIA
PENGARAH
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA
PEMUDA PAS MALAYSIA

No comments:

Post a Comment