Saturday, 10 May 2014

'Sudah diputuskan sejak 2008'

OLEH: NURUL AINI MOHAMED ALI
Tarikh: Mei 10, 2014

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menafikan kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara baru dinaikkan, bahkan keputusan menaikkan kadar sewa itu sudah dibuat sejak 2007 lagi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri juga sudah bersetuju mengurangkan kadar sewa kepada penyewa yang berpendapatan RM1,500 ke bawah dengan jumlah isi rumah lima orang.

"Kadar baru itu hanya kita laksanakan pada November 2008 dan kadar RM250 itu hanya dikenakan kepada penyewa yang berpendapatan RM1,500 ke atas.

"Selepas anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) iaitu Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSS) ambil alih, kita mula mengkaji semula status pendapatan penduduk di sini kerana hal itu adalah sesuatu yang berubah, ada naik turun," katanya kepada Sinar Harian ketika membuat lawatan di PPR tersebut, semalam.

Minggu lalu, beberapa penduduk mengadakan bantahan secara aman yang turut disertai Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan.

Mereka berkumpul bagi membantah kenaikan sewa baru RM250 yang dikenakan sekali ganda berbanding kadar sebelum ini iaitu RM124.

Menurutnya, keputusan meletakkan kadar sewa RM250 itu adalah selepas proses kemas kini dibuat dan didapati penduduk yang gaji lebih RM1,500 perlu membayar dengan kadar sewa berkenaan.

"Kalau dilihat atau dibandingkan dengan PPR di tempat lain, kadar sewa boleh mencecah RM600 sebulan. PPR ini boleh dikira antara yang paling murah," katanya.

Mengulas lanjut, Iskandar menambah, pihaknya akan mengemukakan cadangan di mesyuarat Exco bagi membuat pengecualian kenaikan kadar sewa kepada kumpulan OKU, warga emas dan golongan ibu tunggal.

"Kita akan pertimbangkan juga jumlah tanggungan dalam setiap ahli keluarga, contoh jika gaji tinggi melebihi RM1,500 tetapi ada tanggungan empat anak, maka mungkin mereka akan dikenakan sewa RM124 sahaja.

"Kita juga akan pamerkan semua nama yang dikenakan kadar RM124 ini, supaya ada ketelusan dan boleh menilai sama ada layak dapat pengecualian atau sebaliknya," katanya.

No comments:

Post a Comment