Tuesday 29 April 2014

Zailah saran wanita semarakkan Himpunan 501

SAIDAH HAIRAN | 29 April 2014.

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusof menyeru para wanita khususnya ahli Dewan Muslimat PAS seluruh negara supaya turun ke himpunan 1 Mei ini bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan BN untuk melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang cukup tinggi dan jika GST dilaksanakan pada April 2015 nanti, pasti nasib rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana akan terus terhimpit.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, Rang Undang-Undang GST telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 April lalu walaupun mendapat bantahan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu beliau menyifatkan himpunan aman 1 Mei nanti cukup penting terutama kepada golongan wanita dan anak muda yang paling terkesan dengan pelaksanaan GST.

Katanya, golongan wanita yang mengurus perbelanjaan seharian keluarga terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ekoran perlaksanaan GST.

Tambah beliau, bagaimana mungkin mereka mampu menjimatkan perbelanjaan dapur sedangkan harga barang-barang terus naik.

Nasib serupa bakal dihadapi golongan muda yang terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi sedangkan pendapatan mereka masih belum stabil dan banyak keperluan hidup yang belum dimiliki.

"Saya menyeru wanita seluruh negara tanpa mengira bangsa termasuk penyokong Umno-BN mesti turun pada 1 Mei untuk membantah tindakan kerajaan BN melaksanakan GST," tegasnya.

Himpunan 501 bagi membantah GST itu bermula di lima lokasi sekitar ibu kota iaitu Dataran Maybank, KLCC, pusat membeli belah SOGO, Brickfileds dan Masjid Negara.

Para peserta kemudian akan berjalan kaki ke Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan mereka sehingga jam 5.00 petang. - HARAKAHDAILY, 29/4/2014


No comments:

Post a Comment