- Published on Monday, 07 April 2014 15:10
- Written by Harakah | Foto nst.com
KUALA LUMPUR: Semua sayap dalam PAS termasuk Pemuda, Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyokong penuh langkah Kerajaan Kelantan membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 ke Parlimen.
Sehubungan itu, Kerajaan Umno-BN digesa supaya jangan lagi berdolak-dalik dalam perkara itu, tetapi mestilah ikhlas menyatakan sokongannya bagi membolehkan Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut di negeri itu.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, untuk membolehkan rang undang-undang persendirian itu dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan, ia mestilah disokong oleh menteri.
Menurut beliau, PAS pernah membawa rang undang-undang persendirian berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah pada persidangan Parlimen beberapa tahun lalu, tetapi gagal kerana tidak disokong oleh menteri.
"Kalau kali ini berjaya kerana ada menteri yang sokong, baguslah, itulah yang kita harapkan. Jadi saya harap Dato' Seri Jamil Khir Baharom akan sokonglah nanti 'private bill' yang akan dibawa oleh Kerajaan Kelantan itu," katanya.
Ketika dihubungi 4 April lalu, Suhaizan mengingatkan Jamil Khir dan para pemimpin Umno agar jangan lagi berdolak-dalik mengenai janjinya memberikan komitmen dalam perkara itu setelah 'private bill' itu dibawa oleh Kerajaan Kelantan.
Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sekiranya Umno ikhlas dengan kata-katanya seperti yang dinyatakan oleh Jamil Khir itu, sekarang tibalah masanya untuk parti itu menunjukkan keikhlasannya itu.
"Muslimat PAS Pusat menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh Kerajaan Kelantan itu. Inilah perjuangan kita yang kita tunggu-tunggu selama ini. Hasrat Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang itu selama ini tertangguh kerana tindakan Umno-BN di peringkat Persekutuan.
"Jadi sekarang tibalah masanya untuk Umno-BN sokong perkara ini. Itupun jika Umno-BN ikhlas dengan apa yang dicakapkannya itu," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, keengganan Umno-BN melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah telah menyebabkan kes zina dan kes-kes jenayah semakin meningkat di negara ini.
"Jadi bagi negara kita pula, inilah masanya yang amat sesuai untuk turut melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di negara kita ini," tegas beliau. Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat pula, Hu Phang Chaw, ketika mengulas isu ini berkata, pihaknya menyokong penuh langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan itu, tetapi dengan ingatan agar tidak terperangkap dengan perangkap Umno-BN.
"DHPP tidak ada masalah jika Kerajaan Kelantan nak bawa 'private bill' itu ke Parlimen, malah DHPP menyokong sepenuhnya apa yang ingin dilakukan itu, tetapi kita kenalah berhatihati supaya tidak terperangkap dengan perangkap Umno-BN pula.
"Umno-BN itu sebenarnya sengaja bertindak menunjukkan sokongannya untuk Kelantan laksanakan undang-undang Islam untuk mengalih isu, mengalih perhatian rakyat kerana di negara kita sekarang berlaku macam-macam masalah," katanya ketika dihubungi 4 April lalu.
Hu Phang Chaw menegaskan, antara masalah utama yang berlaku di negara kita sekarang yang cukup memeningkan Umno- BN termasuklah inflasi dan Tragedi MH370, sehingga menimbulkan kemarahan dan kebinggungan kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment