Tuesday 29 April 2014

Lagi himpunan protes kos sara hidup naik dijangka pada 1 Mei

-----

Lagi himpunan protes kos sara hidup naik dijangka pada 1 Mei 

1 MAY
KUALA LUMPUR, 2 Jan: Belum reda lagi bahang protes tahun baharu 2014, terdapat ura-ura mengatakan pembantah akan mengadakan satu lagi himpunan protes peningkatan kos sara hidup pada 1 Mei.
Difahamkan, Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan terlibat dalam satu lagi perhimpunan membantah peningkatan kos sara hidup disebabkan dasar Kerajaan Pusat menaikkan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.
Petikan dari laman portal SelangorKini.online melaporkan, Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan, berkata perhimpunan yang akan diadakan pada 1 Mei nanti turut melibatkan beberapa NGO lain dengan memberikan penekanan bantahan ke atas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksankan pada April 2015 nanti.
“Ketika ini kita sedang menyusun masa dan perbincangan dari semasa ke semasa diadakan agar perhimpunan nanti berjalan lancar. Kita akan maklumkan secara rasmi butiran himpunan ini pada masa yang sesuai nanti,” kata Edy.
“Kita sudah ada banyak pengalaman mengadakan jadi SAMM yakin perhimpunan itu nanti boleh berjalan lancar seperti mana malam tadi,” tambah beliau.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan perhimpunan ini juga akan diadakan di Dataran Merdeka seperti mana perhimpunan yang berlangsung malam kelmarin.
“Lokasi sebenar akan diputuskan nanti sebab bergantung kepada pelbagai keperluan semasa ketika itu,” katanya lagi
Katanya, perhimpunan seumpama itu akan terus diadakan selagi Kerajaan Pusat meneruskan dasar tidak prihatin dengan bebanan kehidupan terpaksa ditanggung rakyat gara-gara pembaziran, rasuah dan ketirisan kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan sumber kewangan negara.
“Perhimpunan bantahan seperti ini akan terus diadakan selagi Kerajaan Pusat tidak menghiraukan kesusahan rakyat dan menipu rakyat dengan janji manis kononnya tidak menaikan harga barang untuk menang pilihan raya,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment