Sunday, 13 April 2014

HIMPUNAN DERITA RAKYAT LANGKAH PERJUANGAN MEMBELA RAKYAT

HIMPUNAN DERITA RAKYAT LANGKAH PERJUANGAN MEMBELA RAKYAT  
(11 April 2014)

Pemuda PAS Malaysia (PPM) mengucapkan tahniah kepada para peserta Himpunan Derita Rakyat di Baling pada 5 April 2014. Hujan lebat bukan suatu halangan untuk mereka hadir berpuluh ribu orang berkumpul menyatakan bantahan dan kemarahan yang tidak terbendung. PPM menganggap mereka adalah golongan yang berani dan bertindak wajar dengan membela ribuan lagi golongan senasib mereka yang menerima kesan yang sama akibat kejatuhan harga getah mendadak.

PPM menganggap himpunan tersebut adalah langkah permulaan perjuangan rakyat menuntut pembelaan mereka. Ia adalah amaran awal supaya penguasa elit pemerintah tidak terus lena dengan kesenangan sedangkan rakyat di bawah dalam penderitaan yang dahsyat. Tindakan perlu dibuat segera, dan langkah drastik perlu diambil. Harga getah yang merudum jatuh dianggap menyeksa rakyat. Daripada RM2.80, turun pula ke paras RM 2.50 sehingga pernah mencecah RM 1.90 sekilogram, menjadikan pendapatan penoreh getah sekitar RM 500 sebulan.

Golongan petani, penoreh getah dan nelayan adalah golongan rakyat di bawah yang memerlukan pembelaan. Mereka bersusah payah membanting tulang bagi memastikan keperluan rakyat dan negara sentiasa mencukupi. Malah, hasil titik peluh mereka menjadikan negara sebagai antara pengeluar getah terbesar di dunia. Justeru wajar pengorbanan mereka di bayar. Membiarkan mereka terkial-kial dengan keadaan semasa meramaikan lagi golongan fakir miskin dan menjarakkan jurang yang lebih jauh antara golongan miskin tegar dengan golongan kaya raya di negara ini.

Dalam keadaan harga barang yang melambung tinggi, cukai GST yang bakal dilaksanakan, mustahil para peneroka mampu meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan terhimpit seperti ini. PPM pernah mencadangkan penentuan harga ditetapkan pada kadar minimum dan berpatutan dan bukan oleh segelintir syarikat yang mahu mengaut keuntungan.  Para peneroka juga perlu diberi bantuan khas agar hidup mereka terbela. Mereka bukan warga kelas kedua, mereka adalah rakyat yang berhak mendapat kemudahan dan keselesaan sama seperti warga negara yang lain.

Himpunan rakyat 1 Mei 2014 di Kuala Lumpur nanti adalah susulan Himpunan Derita Rakyat Baling. Ia juga meliputi keseluruhan rakyat yang menerima kesan hasil pelaksanaan Cukai Barangan dan Jualan (GST), dan kenaikan harga barangan keperluan. PPM sentiasa memberi dokongan dalam membela nasib mereka yang tertindas  dan mendorong agar ribuan rakyat hadir sama dalam himpunan tersebut. Dalam soal pembelaan rakyat dan memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan, PPM bersolidariti bersama rakyat terbanyak. Mungkin ini caranya mengajar penguasa rakus yang angkuh mengenal suara rakyat di bawah ini.
 
SUHAIZAN KAIAT
Ketua Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment