Tuesday, 29 April 2014

GST tak selesaikan hutang negara

SHAH ALAM: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 bukanlah penyelesaian terhadap masalah hutang dan defisit fiskal yang dialami negara sejak sekian lama.

 

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata masalah itu tidak akan selesai sekiranya tabiat berbelanja besar, pembaziran, ketirisan serta bocor dengan amalan rasuah tidak diatasi.

 

Sebaliknya kata beliau kebocoran pada 'tempayan' kerajaan yang seharusnya ditangani dahulu bagi memastikan kewangan negara berada dalam keadaan stabil.

 

Berdasarkan laporan Maybank Berhad bahawa hutang negara bagi tahun 2013 dijangka meningkat kepada RM 541.3 bilion dan akan terus meningkat kepada RM 578.4 bilion iaitu 54.7 peratus daripada jumlah KDNK.

 

"Banyak mana pun yang bakal dipungut (melalui GST) yang dikatakan kerajaan antara RM20 hingga RM27 bilion peningkatan hasil cukai, namun hutang dan defisit tetap tidak akan dapat diatasi kerana 'kebocoran tempayan' mesti ditangani dahulu," katanya.

 

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor turut menyelar program Wacana Nasional bersama wakil kerajaan yang disiarkan di televisyen baru-baru ini dengan menganggap ia gagal menjawab persoalan berhubung GST secara tuntas dan khusus.

 

Katanya wakil kerajaan yang terdiri daripada Pengarah GST Kastam dan Ahli Parlimen Titiwangsa daripada Barisan Nasional (BN) semasa wawancara itu didakwa tidak bersungguh-sungguh dalam memastikan kepentingan rakyat selaku pengguna dipertahankan.

 

"Dalam wacana yang disiarkan selama satu jam itu banyak isu tidak dapat digarap secara tuntas dan muktamad.

 

"Antara asakan saya adalah untuk membuktikan bahawa GST tidak akan membebankan khasnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana secara tidak adil dan ganas atau 'Regressive'.

 

"Pengarah GST Kastam cuba sedaya upaya meyakinkan penonton tetapi fakta dan sokongan hasil penyelidikan pihak Kastam belum atau tidak kukuh untuk mempertahankan dakwaannya," katanya lagi.

 

Dr Dzulkefly berkata hujah beliau adalah bersandarkan kepada kenyataan Kluster Ekonomi dan Kewangan serta Majlis Profesor Negara bahawa perlaksanaan GST nanti akan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana meskipun ada barangan asas 'dikecualikan' daripada cukai. - Selangor Kini

No comments:

Post a comment