Tuesday, 29 April 2014

Bahana Himpunan 1 Mei

-----

Bahana Himpunan 1 Mei

Pakatan Rakyat bukan sahaja menyokong badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mengadakan Himpunan Membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini, bahkan akan turut serta dalam himpunan itu. Mereka tetap melakukannya walaupun menyedari bahana yang akan menimpa rakyat dan negara.
1. Kerugian Ekonomi dan Peniaga
Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Rosli Sulaiman pernah mengatakan perhimpunan Bersih yang lalu telah menjejaskan transaksi ekonomi sebanyak RM10 juta di sekitar Kuala Lumpur. Sebanyak 5 bilion euro telah dibazirkan oleh kerajaan Sepanyol sejak Mei 2011 apabila kerajaannya perlu berhadapan dengan perhimpunan berterusan yang dilakukan oleh kumpulan tertentu di negara mereka. Keadaan ini menyebabkan kerajaan Sepanyol perlu menerima bailout sebanyak 100 bilion Euro daripada IMF dan akhirnya kedaulatan negara tersebut kini dijajahi oleh IMF. Adakah pendapatan dan sumber negara hendak terus dibazirkan demi perhimpunan yang sebenarnya lebih bersifat politik daripada demi kebaikan rakyat? Sekiranya pakatan pembangkang benar-benar ikhlas maka mereka seharusnya membuat perhimpunan dalam isu kemelut krisis air yang melanda Selangor yang ditadbir oleh mereka. Adakah pelaksanaan GST akan lebih membebankan berbanding dengan mereka yang tidak dapat air dalam kehidupan seharian? 2. Kos Hidup Meningkat
Kita perlu tahu dalam masa kurang daripada enam tahun Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkuasa tarif air sudah meningkat sebanyak tiga kali. Keadaan ini belum mengambil kira pembaziran sumber negeri yang digunakan oleh Ketua Menteri tersebut untuk membeli kereta Mercerdes S Class. Kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang turut memperkenalkan cukai tambahan untuk setiap bilik di negeri tersebut dengan kadar RM2 - RM5 setiap bilik. Di negeri Selangor pula kadar lesen perniagaan ditingkatkan kepada 400 peratus dan gaji pentadbir negeri Selangor pula ditingkatkan sehingga 373 peratus. Sekiranya pemimpin pakatan pembangkang boleh berkereta Mercerdes S Class dan gaji meningkat sehingga 373 peratus maka adakah mereka layak untuk berbicara tentang soal kos hidup rakyat?
3. Peranan Pihak Berkuasa
Negara kita memiliki penduduk sebanyak 27 juta orang. Tugas dan peranan pihak berkuasa ialah memastikan keselamatan dan keamanan rakyat dan negara secara menyeluruh. Jangan hanya disebabkan segelintir masyarakat yang tidak cintakan negara dan kepentingan politik mereka, maka keselamatan rakyat yang tidak berdosa akan tergadai. Apakah angka 100,000 berbanding dengan 27 juta rakyat Malaysia yang lain? Jangan disebabkan terperangkap dalam politik perjuangan kebebasan demokrasi dan berhimpunan yang dilaungkan oleh pakatan pembangkang maka keselamatan dan keamanan rakyat terancam. Hak untuk selamat dan aman adalah lebih penting daripada hak berhimpun secara bebas. Kebebasan tanpa kawalan adalah kebebasan yang terbabas.
Penulis ialah Penganalisis Politik, Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia, Pengasas blog SYA For The Nation.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140427/re_06/Bahana-Himpunan-1-Mei#ixzz30L4AlGQC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment