KENYATAAN MEDIA
LAJNAH ANTARABANGSA
PEMUDA PAS MALAYSIA
(29 Mac 2014)
Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LA PPM) mengucapkan tahniah kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kerana berjaya mengambil inisiatif menandatangani perjanjian perdamaian dengan kerajaan Filipina. Konflik berdarah hampir 40 tahun di selatan negara itu akhirnya berjaya ditamatkan sekaligus memberi harapan baru kepada Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam. LA PPM menganggap perjanjian ini sebagai suatu kejayaan kepada Bangsamoro dan umat Islam di Filipina seluruhnya.
Kesediaan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim hadir menandatangani perjanjian itu menunjukkan sikap pemimpin MILF yang berjiwa besar dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan diri sendiri. Perjanjian ini memberi suatu pengiktirafan Bangsamoro serta mengakhiri penderitaan umat Islam negara itu setelah lebih 150,000 nyawa terkorban.
Perjanjian ini membuktikan bahawa Islam mengutamakan perpaduan, keharmonian dan ketenteraman berbanding perpecahan dan pergolakan. Paling penting, maruah agama Islam dan Bangsamoro tetap terpelihara dan dihormati oleh semua pihak.
Kejayaan MILF juga sentiasa mengiringi kejayaan PAS sebagai saudara seperjuangan di rantau Asia Tenggara.Apa yang diharapkan adalah pengiktirafan ini memberi kekuatan baru umat Islam Mindanao dan mampu menjalin kerjasama erat antara umat Islam di Filipina seluruhnya.
DR RAJA AHMAD AL HISS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment