Tuesday, 25 March 2014

TAKZIAH KEPADA KELUARGA PENUMPANG MH370

KENYATAAN MEDIA
PEMUDA PAS MALAYSIA

TAKZIAH KEPADA KELUARGA PENUMPANG MH370
(25 Mac 2014)

Bagi pihak Pemuda PAS Malaysia (PPM) saya mengucapkan takziah dan merasa sedih ke atas semua keluarga mangsa penumpang pesawat MH370. Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 10.00 malam tadi seakan menyentak perasaan seluruh warga Malaysia, apatah lagi kepada keluarga mangsa. Pengumuman PM juga seakan merungkai persoalan yang selama 17 hari tiada jawapan dengan berakhirnya perjalanan MH370 di selatan Lautan Hindi.

Tiada yang lebih menyedihkan melainkan kehilangan insan tersayang dan buat keluarga mangsa, doa dan ucapan takziah kami titipkan buat mereka agar bersabar di atas segala musibah yang melanda. Sesungguhnya penumpang MH370 adalah insan yang dipilih dan dikasihi oleh Allah lebih dari kita semua.

Saya menggesa siasatan terhadap motif kejadian dilaksanakan dengan segera supaya dunia mendapat jawapan yang sebenar siapa yang bertanggungjawab di sebalik tragedi ini. Berdasarkan kepada bukti-bukti yang telah disiarkan mungkin ia menjurus kepada suatu perancangan yang teliti dan ia dilaksanakan oleh mereka yang pakar. Mungkin masyarakat dunia menjadi mangsa pihak yang berkepentingan ini. Lebih dikesali apabila segelintir pihak dijadikan 'kambing hitam' dengan tuduhan tidak berasas termasuk terhadap juruterbang dan pembantunya.

Akhirnya, saya mendoakan mangsa MH370 menjadi hamba yang diredhai  Allah SWT dan ditempatkan bersama kumpulan orang yang soleh. Amin.  Al Fatihah.

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a comment