Friday, 7 March 2014

Solidariti buat Anwar, perjuangan akan terus marak

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga bersabar dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

"Saya harap Anwar sekeluarga dapat bersabar, jangan patah semangat dan terus berjuang,” ujarnya dalam sms yang ketika ini berada di Berlin, Jerman.

Sehubungan itu, beliau yakin apa yang berlaku itu akan memberi lonjakkan undi kepada Pakatan Rakyat, walaupun siapa yang bertanding pada PRK Kajang.

"Ini merupakan satu isyarat jelas rakyat yang menentang keputusan mahkamah hari ini," ujarnya lagi.

Bagi AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan pula, hari ini di seluruh negara dilanda ‘mendung’.

Beliau percaya seluruh dunia yang mengikuti rapat perjuangan menegakkan keadilan di Malaysia akan berkabung dengan penuh kesedihan dan berasa amat dukacita dengan perkembangan terbaru yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sendiri tentu sahaja tidak gembira malah turut sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku dan dilakukan ke atas Anwar. 

“Saya mendoakan semoga beliau dan keluarga tabah menghadapi ujian getir ini. Mudah-mudahan segalanya di dalam lindungan dan pemeliharaan Allah SWT jua buat Datuk Seri Wan Azizah dan anak-anak pastinya orang paling sedih dan kecewa terhadap episod hitam ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh. 

Namun beliau yakin perjuangan akan terus marak terutama dukungan anak muda yang tidak akan patah semangat untuk bangkit menentang kezaliman, meluruskan kepincangan dan menolak kebatilan dalam politik, ekonomi, sosial dan perundangan negara.

No comments:

Post a comment