Friday, 7 March 2014

Satu lagi detik hitam dalam kehakiman negara- MB Selangor

Sumber: Keadilandaily
SHAH ALAM 7 MAC: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai  detik hitam dalam sistem kehakiman negara.

Khalid-IbrahimIa ekoran keputusan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi  menerima rayuan pendakwaan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar atas sabitan liwat.

“Hari ini mencatat satu lagi titik hitam kepada sistem kehakiman negara.

“Detik hitam ini tanpa kita disedari telah mencambah rasa prejudis pendokong dan penyokong KEADILAN khasnya dan Pakatan Rakyat amnya, terhadap kerajaan Barisan Nasional.

“Penindasan dan pendakwaan yang bersifat ‘mala fide’ ini terus menyukarkan keadaan dan mengusutkan lagi ruang kematangan berpolitik,” ujarnya dalam kenyataan media.

Khalid berkata, keputusan memenjarakan ketua pembangkang itu turut menyukarkan laluan untuk rekonsiliasi nasional yang dicanang perdana menteri.

“Sebaik hukuman ini dibacakan, semangat Rekonsiliasi Nasional yang dicanang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak langsung lebur dan tenggelam bersama arus hipokrasi.

“Ternyata semangat palsu ini gagal diterjemahkan dengan jujur sungguhpun Ketua Pembangkang telah menyahutnya dengan agenda Konsensus Nasional,” ujarnya.

Justeru beliau menggesa Anwar dibebaskan daripada semua pendakwaan bersifat serangan peribadi dan politik kotor,  sebaliknya menumpukan fokus kepada agenda pembangunan negara.

Dalam pada itu, Khalid turut meminta rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat bertenang dan tidak terburu-buru dalam mengambil sebarang tindakan.

“Konspirasi terancang ini harus diteliti dan ditangani secara bijak dan praktikal,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment