SARANAN DR RIDHUAN TEE WAJAR DIAPLIKASI MAS
(24 Mac 2014)
Saranan Dr Ridhuan Tee Abdullah mengenai tujuh langkah yang perlu diambil oleh Malaysia Airline System (MAS) sebagai iktibar peristiwa kehilangan pesawat MH 370 wajar diambil perhatian. Saya menyokong ketujuh-tujuh langkah tersebut sebagai mempromosikan Islam di mata dunia dan budaya masyarakat sihat yang diamalkan di negara ini.
Ketujuh-tujuh langkah itu adalah tidak menghidangkan makanan dan minuman haram kepada penumpang termasuk minuman keras, malah menghidangkan makanan yang berkhasiat dan promosikan makanan dan minuman tempatan yang lazat, pramugari dibenarkan menutup aurat serta diberikan pakaian yang sopan, anak kapal diajar untuk tidak hanyut dengan keseronokan di dalam pesawat sebaliknya disematkan dengan jiwa kerohanian Islam. Selain itu, pemeriksaan ketat di lapangan terbang ditingkatkan, dan pegawai-pegawai imigresen memperbanyakkan kalimah Bismillah, Alhamdulillah, salam dan lain-lain lagi.
Bagi mempromosikan aktiviti pelancongan di negara ini, sebaiknya Malaysia membawa suatu kelainan dan keunikan berbeza dengan negara-negara barat yang lain. Tidak ada salahnya kita memperkenalkan budaya dan adat masyarakat timur khususnya citarasa Malaysia dalam pesawat MAS kerana strategi ini juga boleh membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan MAS kepada penumpang dengan kelainan-kelainannya.
MAS perlu menghidangkan makanan dan minuman yang halal, berkhasiat lagi lazat, terutama dari makanan tempatan dan mengelakkan makanan yang haram dan memudaratkan. Banyak lagi makanan tempatan yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa bagi menarik selera mereka berbicara mengenai keunikan negara ini. Minuman alkohol atau arak adalah memudaratkan dan perlu dielakkan kerana dikhuatiri penumpang mabuk boleh menjejaskan kesihatan, terutama ketika berada di ketinggian maksimum dalam sesebuah pesawat. Mereka juga boleh bersikap agresif kepada penumpang yang lain dan lebih membahayakan jika ada yang mengganggu pesawat sehingga merencatkan jadual penerbangan.
Tambahan pula sebagai sebuah negara yang mengaku mengamalkan Islam, sudah sampai masanya Malaysia membawa suatu kelainan pada aktiviti penerbangannya. Para pramugari yang berpakaian menutup aurat dan sopan ini akan dilihat ayu dan sopan pada pandangan penumpang dan ini akan memberikan suatu penghargaan kepada golongan wanita, mewujudkan perasaan hormat menghormati antara penumpang dan anak kapal, disamping memberikan ketenteraman antara satu sama lain. Bahan bacaan serta tayangan filem bermutu yang bermanfaat dan mempunyai nilai etika yang baik juga boleh dijadikan bahan tambahan di dalam pesawat untuk tatapan penumpang. Kemudahan solat juga perlu ditingkatkan dengan ruang yang selesa dengan panduan serta pelaksanaan bersama-sama antara anak kapal dan penumpang sebagai dakwah berkesan kepada golongan bukan Islam.
Harus diingat, di dalam Islam, aspek keberkatan dan hukum halal haram perlu diambil kira. Tidak ada gunanya MAS berbelanja jutaan ringgit untuk memberikan keselesaan kepada penumpang namun disisi agama Islam, ia jelas melanggar batasan syarak dan mengundang kemurkaan Allah SWT. Alasan memenuhi selera golongan bukan Islam adalah alasan remeh kerana golongan bukan Islam juga menghormati budaya dan adab masyarakat di negara ini.
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
No comments:
Post a Comment