
Dewan Pemuda PAS Malaysia Persekutuan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinannya di atas kemenangan memberangsangkan di dalam pilihanraya tempatan. Rekod pencapaian 2014 memenangi 47% jumlah undian mengatasi pencapaian 2009 dengan 38.8% undian. Seramai lebih 50 juta rakyat Turki layak mengundi dalam pemilihan kali ini.
Perdana Menteri Erdogan menyifatkan kemenangan kali ini sebagai kemenangan ke atas politik tidak bermoral setelah pimpinan kanan AKP termasuk Erdogan sendiri menjadi sasaran serangan politik dengan pendedahan video dan rakaman yang mendakwa wujudnya rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam pentadbiran kerajaan.
Keputusan ini jelas menunjukkan kredibiliti karektor reformis Erdogan dan AKP terus utuh di kalangan rakyat Turki meskipun berdepan cabaran politik yang hebat. Kejayaan AKP ini pastinya menjadi inspirasi kepada PAS, Pakatan Rakyat dan rakyat keseluruhannya yang turut berdepan dengan politik tidak bermoral anjuran UMNO-BN di dalam usaha kita membawa pembaharuan yang lebih baik untuk Malaysia.
Semoga Allah swt. terus memberi kekuatan kepada Perdana Menteri Erdogan dan AKP meneroka keadilan dan kemajuan untuk Turki serta membawa suara lantang membela Ummah di arena antarabangsa.
Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
KENYATAAN MEDIA
LAJNAH ANTARABANGSA
PEMUDA PAS MALAYSIA
(29 Mac 2014)Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LA PPM) mengucapkan tahniah kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kerana berjaya mengambil inisiatif menandatangani perjanjian perdamaian dengan kerajaan Filipina. Konflik berdarah hampir 40 tahun di selatan negara itu akhirnya berjaya ditamatkan sekaligus memberi harapan baru kepada Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam. LA PPM menganggap perjanjian ini sebagai suatu kejayaan kepada Bangsamoro dan umat Islam di Filipina seluruhnya.
Kesediaan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim hadir menandatangani perjanjian itu menunjukkan sikap pemimpin MILF yang berjiwa besar dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan diri sendiri. Perjanjian ini memberi suatu pengiktirafan Bangsamoro serta mengakhiri penderitaan umat Islam negara itu setelah lebih 150,000 nyawa terkorban.
Perjanjian ini membuktikan bahawa Islam mengutamakan perpaduan, keharmonian dan ketenteraman berbanding perpecahan dan pergolakan. Paling penting, maruah agama Islam dan Bangsamoro tetap terpelihara dan dihormati oleh semua pihak.
Kejayaan MILF juga sentiasa mengiringi kejayaan PAS sebagai saudara seperjuangan di rantau Asia Tenggara.Apa yang diharapkan adalah pengiktirafan ini memberi kekuatan baru umat Islam Mindanao dan mampu menjalin kerjasama erat antara umat Islam di Filipina seluruhnya.
DR RAJA AHMAD AL HISS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment