Saturday, 8 March 2014

Perbezaan kecil jadi besar angkara manipulasi media

SHAH ALAM: Pengukuhan bagi Pakatan Rakyat perlu bermula dengan menyelesaikan segala krisis yang timbul dengan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi bagi menangani perbezaan pendapat di kalangan rakan gabungan ini.

Apatah lagi apabila perbezaan pendapat itu menimbulkan satu persepsi negatif oleh rakyat yang tidak mendapat gambaran sebenar, sedangkan ada ketika perbezaan tersebut hanyalah perkara kecil.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata biarpun perbezaan pendapat itu adalah satu perkara kecil, ia akan menjadi besar apabila media yang tidak bertanggungjawab mula memanipulasi perbezaan tersebut.

Tegasnya, biarpun kebanyakan masalah yang timbul telah berjaya diselesaikan, masih ada lagi beberapa masalah yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin.

"Pemimpin perlu menyelesaikan masalah, bukan mencipta masalah.  Pengukuhan Pakatan Rakyat ini bermula secara dalaman yang perlu diselesaikan oleh pimpinan part," tegas beliau ketika berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-5, di sini, petang ini.

Tambahnya, soal pengukuhan ini bukanlah bermaksud kita berpecah, sebaliknya ia merupakan satu proses politik yang panjang, bersesuaian dengan realiti politik hari ini.

Tegas Mustafa, Pakatan Rakyat mempunyai polisi atau dasar bersama yang telah disepakati dan memberi jaminan Pakatan Rakyat akan bergerak dengan kebersamaan dasar tersebut.

"Jika berlaku sebarang percanggahan dari polisi tersebut, ia perlu dan akan dibincangkan dan diperhalusi sewajarnya bagi kesejahteraan pakatan dan rakyat amnya," tegas beliau lagi.

No comments:

Post a comment