BERITA SEMASA
Kenyataan Media
Pemuda PAS Malaysia
Pemuda PAS Kongsi Kebimbangan Kehilangan Pesawat MAS
(8 Mac 2014)
Pemuda PAS Malaysia (PPM) mengikuti perkembangan dengan penuh kebimbangan kehilangan sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi tadi.
Penerbangan MH370 tersebut membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal. Pesawat tersebut berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi tadi.
Difahamkan, seramai 152 warga China termasuk seorang bayi berada dalam pesawat tersebut, seramai 38 orang warga Malaysia, 12 orang warga Indonesia, 7 orang warga Perancis, 3 orang warga Amerika Syarikat, 3 orang termasuk seorang bayi New Zealand, 2 orang Ukraine, 2 orang Kanada, 2 orang Rusia, 1 orang warga Itali, 1 orang Netherlands dan 1 orang Austria.
Saya mengajak umat Islam di negara ini sama-sama berdoa agar pesawat dan kesemua penumpangnya selamat. Saya juga mengajak seluruh lapisan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi liar sebelum mendapat pengesahan rasmi MAS.
Akhirnya, saya mengharapkan kesemua ahli keluarga terbabit agar bertenang dan bersabar. Di atas segala-galanya, menyerahkan diri kepada Allah SWT adalah jalan terbaik sebagai hamba Nya.
SUHAIZAN KAIAT
Ketua Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment