Friday, 7 March 2014

Pakatan akan bincang calon alternatif PRK Kajang

JERANTUT: Pakatan Rakyat (PR) akan membincangkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya didapati tidak layak bertanding berikutan keputusan Mahkamah Rayuan.
 
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, beliau menjangkakan mesyuarat tersebut akan diadakan selepas Konvensyen PR esok memandangkan masa yang agak suntuk. 
 
Katanya, beliau sedih dengan berita Anwar didapati bersalah.
 
“Sebab itu kita nyatakan ini sesuatu yang dirancang, konspirasi halus yang pentingnya bagi mereka menghalang untuk PR membuat satu lonjakan di Kajang untuk kita sampai ke Putrajaya. 
 
“Jadi kita mungkin akan bincang sesiapa yang akan bertanding di Kajang bagi menggantikan Anwar Ibrahim, seandainya sesuatu terjadi pada hari penamaan calon seperti diisytiharkan hilang kelayakan,” katanya pada majlis perasmian Pusat Khidmat Komuniti PAS Jerantut di sini petang tadi.
 
Turut hadir dan berucap ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Md Jusoh Darus, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHHPP) negeri, Balasubramaniam dan Yang Dipertua PAS Jerantut, Yohanis Ahmad.
 
Mnegenai Pusat Khidmat Komuniti, Salahuddin berharap, di samping memberikan khidmat dan kebajikan, apa yang penting untuk dilaksanakan oleh PAS Jerantut ialah memberikan pendidikan politik kepada orang Melayu.
 
Katanya, itu penting kerana selagi orang Melayu tidak digerakkan ke arah perubahan maka selagi itulah PAS sukar untuk menang di kawasan luar bandar dan Felda.

No comments:

Post a comment