Wednesday 26 March 2014

Muslimat PAS sokong perjuangan wanita Mesir hadapi regim tentera

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat memberi sokongan padu kepada wanita Mesir yang berjuang menentang kezaliman regim General Abdul Fattah As Sisi dan bala tenteranya.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, Muslimat PAS di seluruh negara sentiasa mendoakan agar Allah SWT memberikan kesabaran, kekuatan dan ketabahan kepada anggota Ikhwanul Muslimin dalam menghadapi ujian yang sangat getir.

Menurut beliau, ramai wanita muda Mesir dijatuhi hukuman 11 tahun penjara ke atas dengan pertuduhan palsu seperti membawa senjata, menyerang pihak polis, mengganggu ketenteraman awam dan merosakkan harta benda awam. 

Katanya, hukuman mati ke atas 529 orang penyokong Ikhwanul Muslimin turut memberi implikasi besar kepada ahli keluarga mereka yang sebahagian besarnya adalah wanita. 

"Wanita-wanita inilah yang akan meneruskan perjuangan ahli keluarga mereka untuk menegakkan kebenaran," tegasnya. 

Dalam satu kenyataan media, Muslimat PAS mengecam keputusan Mahkamah Jenayah Minya, Mesir, yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Musyidul Am Ikhwan Muslimin, Prof Dr Mohd Badie, Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang juga bekas Speaker Mesir, Dr Saadu Katatni serta  529 aktivis Ikhwan Muslimin yang lain.

Katanya, sebahagian besar mereka yang dibicarakan dituduh terlibat dalam pertelingkahan di daerah selatan Minya selepas dua kem protes Ikhwanul Muslimin di Kaherah telah dimusnahkan pada 14 Ogos lepas. 

Menurut beliau, hukuman yang dijatuhkan mahkamah Mesir itu ternyata zalim dan bertentangan dengan norma keadilan antarabangsa apabila tertuduh tidak diberikan peluang  membela diri atau mengemukakan saksi. 

"Regim tentera Mesir telah menjadikan Mahkamah sebagai alat untuk menghalalkan darah penyokong Ikhwanul Muslimin," tegasnya. 

Tambah beliau, keputusan Mahkamah  ini membuktikan bahawa sistem kehakiman di Mesir telah dimusnahkan oleh regim tentera yang ingin menekan perjuangan rakyat Mesir.  

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, kezaliman yang dilakukan oleh Regim tentera Mesir bersama hakim-hakim proregim tentera memberi kesan yang sangat besar kepada wanita Mesir. 

Dalam perkembangan yang sama, Muslimat PAS kesal dengan sikap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dan Liga Arab yang membiarkan regim tentera Mesir meneruskan kezaliman sejak Presiden yang sah, Dr. Muhammad Morsi digulingkan regim tentera dan kerajaan boneka dibentuk. 

Beliau menegaskan, ketiadaan sebarang protes daripada badan antarabangsa dan negara-negara umat Islam  menunjukkan ketidakprihatinan dunia terhadap apa yang berlaku ke atas rakyat Mesir.

Sehubungan itu katanya, hukuman mati ke atas 529 orang penyokong Ikhwanul Muslimin tidak akan memalapkan api perjuangan rakyat Mesir dalam menuntut keadilan dan mendirikan sebuah negara yang benar-benar mendokong aspirasi rakyat. 

"Penghakiman yang zalim ini akan membuka jalan kepada lebih ramai rakyat Mesir untuk bangkit menentang kezaliman," tegasnya.

No comments:

Post a Comment