Sunday 16 March 2014

KENYATAAN MEDIA PEMUDA PAS MALAYSIA : TUDUHAN MEDIA ASING TERLALU BIADAP

KENYATAAN MEDIA
PEMUDA PAS MALAYSIA
 
TUDUHAN MEDIA ASING TERLALU BIADAP
(17 Mac 2014)
 
Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LA PPM) mengecam tindakan media antarabangsa yang mengaitkan kejadian pesawat MH 370 Malaysian Airline System (MAS) sebagai tindakan sabotaj juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat terbang tersebut. Antara media luar yang mengaitkan khabar angin ini adalah akhbar Mirror dan Daily Mail yang berpangkalan di UK serta beberapa portal luar negara yang membawa berita yang sama. Perlu diingatkan akhbar Daily Mirror pernah memfirnah Presiden Pas sebagai Al-Qaeda dan pengganas pada tahun 2007 dahulu yang akhirnya mahkamah UK mengarahkan Daily Mirror memohon maaf kepada Presiden Pas beserta gantirugi teladan.

LA PPM menganggap dakwaan tersebut amat biadap kerana siasatan masih dijalankan dan pihak berkuasa Malaysia mendapati wujudnya elemen rampasan pesawat tersebut, dan bukannya tindakan sabotaj. Mengaitkan kedua-dua juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah  dan pembantunya, Fariq Ab Hamid sebagai perampas pesawat tersebut merupakan tindakan yang tidak rasional serta mengganggu emosi keluarga kedua-duanya. Dakwaan tersebut juga menjatuhkan reputasi negara serta rakyat di negara ini.

LA PPM juga merasa kecewa kerana segelintir pihak mengaitkan juruterbang, Kapten Zaharie dengan teori bahawa beliau mensabotaj pesawat itu kerana kecewa dengan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. LA PPM beranggapan dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan ia berniat jahat. Isu keputusan penghakiman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu diheret dalam konflik besar ini yang boleh menjejaskan kredibiliti negara di mata dunia. 
Malah, Kapten Zaharie dikenali seorang yang berdedikasi, rasional, amat profesional serta matang dalam mengendalikan pesawat itu.

LA PPM difahamkan, teori utama pesawat itu hilang adalah rampasan dan ia mengaitkan kumpulan tertentu yang besar, mahir dan licik. Ia juga melibatkan banyak pihak seperti negara tertentu dan aspek tertentu seperti keganasan. Apa yang diharapkan adalah supaya semua pihak tidak berteori dengan mengemukakan spekulasi liar sehingga mengganggu emosi keluarga mangsa dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini. LA PPM tidak sesekali bersetuju jika andaian dibuat dan menjatuhkan hukuman kepada juruterbang dan pembantunya tanpa ada asas dan bukti yang kukuh.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Pemuda PAS Malaysia   

No comments:

Post a Comment