KUALA LUMPUR: Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan mempergunakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi meyakinkan rakyat terhadap dasar kerajaan, khususnya berkaitan cukai perkhidmatan dan barangan (GST).
Katanya, tindakan kerajaan itu menunjukkan betapa lemahnya kerajaan untuk meyakinkan rakyat berhubung isu GST dengan kekuatan mereka sendiri, sedangkan kerajaan boleh menggunakan pelbagai saluran yang ada.
"Saya kesal apabila kerajaan mempergunakan titah Yang di-Pertuan Agong untuk meyakinkan rakyat, khususnya berkaitan GST. Nampak sangat kerajaan lemah untuk meyakinkan rakyat," kta beliau ketika ditemui selepas titah Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Sultan Badlishah, di parlimen, hari ini.
Bagaimanapun, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata titah tersebut akan dibahaskan pada sesi perbahasan persidangan kali ini.
Sultan Abdul Halim merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Majlis Parlimen ke-13 di sini, hari ini.
Pembukaan penggal kedua Parlimen ke-13 kali ini menyaksikan perubahan dari segi atur cara sambutan majlis perbarisan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen, diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen berikutan cuaca berjerebu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
No comments:
Post a Comment