KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Mas, Ustaz Ismail Noh yang meninggal dunia pada jam 2 pagi tadi.
Sesungguhnya, kata beliau allahyarhan merupakan seorang pemimpin yang telah banyak menyumbang kepada masyarakat Kelantan khususnya di dalam bidang pendidikan sebelum beliau menceburi politik.
“Jasa dan pengorbanan beliau di dalam parti dan perjuangan Islam hanya Allah SWT yang berhak membalasnya. Semoga Allah merahmati roh beliau insya Allah,” ujar bekas Menteri Besar Kelantan itu menerusi Facebook.
Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob turut mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga allahyarham.
"Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat, pemergian beliau yang juga bekas AJK Dewan Ulamak PAS Pusat merupakan satu kehilangan besar kepada perjuangan Islam.
"Semoga beliau dirahmati oleh Allah SWT," ujar beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.
Pendakwah semangat kental
Di KOTA BHARU, bekas anggota parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Noh meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HPRZ2) selepas tidak sedar diri sejak seminggu.
Arwah yang menghadapi beberapa konflikasi penyakit termasuk diabetes dan angin ahmar beberapa tahun lalu.
Beliau seorang pendakwah yang dikenali ramai dan bersemangat kental, pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya. Kemudian meletak jawatan untuk kembali berkhidmat di Kelantan sebagai Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan.
Pernah juga dilantik sebagai Ketua Pengelola Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Bertanding di parlimen Pasir Mas pada 1999 dan 2008. Di peringkat parti pernah memegang jawatan Yang Dipertua PAS Pasir Mas bagi tempoh 1993-2004, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri (2003-2005) dan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan (1998).
Mendapat pendidikan peringkat sarjana dalam bidang dakwah. Allahyarham juga mengasaskan Darul Quran di Kampung Slow Machang.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hasiah Said dan lapan orang anak.
Setiausaha Eksekutif Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, jenazahnya akan dikebumi jam 2 petang ini di Kampung Slow Machang, Pasir Mas.