Tuesday, 18 February 2014

Kassim Ahmad: Dewan Ulamak PAS WP gesa Jawi bertindak

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS wilayah Persekutuan (DUPWP) hari ini membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung kenyataan Kassim Ahmad yang disifatkan sebagai menghina Islam dan Nabi Muhammad saw.

Kassim sewaktu dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian anjuran Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Perdana, Putrajaya pada Ahad lalu didakwa jelas mengeluarkan pandangan bercanggah dengan ajaran Islam.

Beliau mengkritik masyarakat Islam yang dikatakan mendewa-dewakan Nabi Muhammad, menyatakan rambut wanita bukan aurat serta wujud kasta paderi dikalangan ulamak.

Menurut Ketua DUPWP, Ustaz Azhar Yahya, semua pendapat Kassim Ahmad jauh terpesong dan nyata menyesatkan pemikiran ummat Islam daripada memahami Islam yang sebenar malah mendatangkan syak wasangka buruk bukan Islam kepada Islam.

Justeru beliau mahu Jawi menyiasat Kassim di bawah Seksyen dan 8 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas beliau.

"Saya percaya, kenyataan-kenyataan Kassim Ahmad tersebut merupakan satu usaha untuk mengdoktrin pemikiran masyarakat Islam secara salah dan ianya ternyata suatu kesalahan di dalam undang-undang yang telah dikanunkan di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan," kata beliau kepada Harakahdaily selepas menyerahkan surat aduan kepada Ketua Unit Perhubungan Awam Jawi, Mohammad Kori di pejabat Jawi, dekat sini.

Azhar juga berkata, DUPWP yakin kenyataan-kenyataan biadab Kassim pada program tersebut dan di dalam pelbagai media yang diusahakan sendiri olehnya adalah suatu jenayah dan berbahaya kepada Islam, ummatnya dan harus disekat. 

"Saya merasa bimbang dengan keselamatan aqidah ummat ini dan khuatir tindakan biadab seumpama ini akan menjadi dorongan kepada pihak-pihak lain untuk mempersenda dan menghina Islam dan institusinya," katanya lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohd Noor Mohamad yang turut hadir ke Jawi berkata, DUPWP bersedia untuk berdebat dengan Kassim namun tetap mahu Jawi menyiasat Kassim.

"Pihak kami setuju dengan cadangan sesetengah pihak agar mengadakan debat dengan Kassim Ahmad jika tidak bersutuju dengan pandangan beliau.

"Tapi ini bukan soal perbezaan pendapat tetapi kenyataan yang ternyata menghina Islam dan Nabi Muhammad. Debat satu perkara tapi dalam masa yang sama Jawi perlu menyiasat Kassim," katanya.

No comments:

Post a comment