Tuesday, 21 January 2014

Rumah: Henti sebar sms palsu, jangan permainkan rakyat

AMPANG: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad menyifatkan penyebaran sms palsu berkaitan skim pembiayaan perumahan kerajaan negeri itu untuk 'undermind' kerajaan negeri, selain cuba memainkan sentimen rakyat.

Sehubungan itu, beliau menegur dan menasihati pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan sms palsu itu agar berhenti berbuat demikian.

"Jika tidak puas hati dengan kerajaan negeri, serang sahaja kerajaan negeri. Tapi jangan babitkan rakyat yang menaruh harapan tinggi. Perbuatan ini jelas sengaja dilakukan bagi mempermain-mainkan rakyat, selain cuba 'undermind' kerajaan negeri," kata beliau pada satu sidang media, di pusat khidmatnya, petang tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penyebaran sms palsu yang diterima pihaknya bermula semalam, yang dikenalpasti mula tersebar kepada rakyat di sekitar Shah Alam.

Sebelum ini, sms palsu berkaitan bantuan persekolahan anak di Selangor turut disebarkan dan susulan itu satu laporan polis turut dibuat bagi mencari pihak yang bertanggungjawab menyebarkan sms terbabit.

Dalam pada itu, Iskandar melahirkan kebimbangan jika situasi begini berterusan kerana akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri dan tidak mempercayai setiap apa yang dilakukan kerajaan negeri.

"Hakikatnya, orang yang membuat kerja ini (sebar sms palsu) dia tahu apa yang kerajaan negeri buat, tapi memanipulasi bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat negeri Selangor. Contohnya, kerajaan negeri memang ada beri bantuan persekolahan, tapi kita beri voucher untuk pembelian kasut.  Begitu juga dengan skim pembiayaan perumahan yang dalam peringkat akhir perbincangan dengan pihak bank," tegas beliau.

Iskandar turut mengingatkan rakyat, khususnya di Selangor untuk mendapatkan pengesahan dengan setiap sms yang diterima bgi memastikan sama ada ianya sah atau sebaliknya.

Ekoran penyebaran sms palsu itu, satu laporan polis dibuat pegawai khas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad iaitu Mohamad Jamil Abdul Rahim, semalam, di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam, Selangor.

Namun, Iskandar berkata sehingga hari ini masih ramai menghubungi beliau untuk bertanyakan berhubung skim pembiayaan perumahan tersebut.

Justeru, beliau mengharapkan pihak berkuasa untuk segera membuat siasatan bagi mengenalpasti pihak yang tidak bertnggungjawab menyebarkan sms palsu terbabit.

No comments:

Post a Comment