Friday, 17 January 2014

Rakyat berhempas pulas, MB melancong ke Antartika

KUALA LUMPUR: PAS Terengganu menggesa penjelasan kukuh dan ‘rasional’ pemergian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ke benua ais Antartika.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata dalam suasana kos kehidupan yang makin menekan rakyat, serba serbi menjadi semakin mahal dan kerajaan meminta rakyat untuk mengkat perut serta berjimat cermat, sebaliknya mengapa kerajaan membelanjakan hasil cukai rakyat kepada sesuatu yang belum pasti.

“Sedang apa yang nyata di hadapan mata kita semua adalah, ramai yang masih tidak mempunyai peluang pekerjaan, hampir 80,000 mahasiswa yang masih menanggur bahkan nasib lebih 1,000 orang pekerja Perwaja Steel di Kemaman terumbang-ambing kerana tidak dibayar gaji secara tetap,” ujarnya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada kenyataan yang disiarkan di dada akhbar, kelmarin.

Pada masa yang sama, kata beliau amat malang sekali kepada rakyat Terengganu, tatkala 15,000 mangsa banjir  kehilangan harta benda sedang berhempas pulas memulihkan hidup mereka, Menteri Besar boleh pergi melancong ke Antartika, yang pastinya menelan belanja dan kos yang tinggi.

Beliau yang juga Adun Paka menambah, amat malang juga kepada rakyat Terengganu, mempunyai seorang pemimpin yang tidak memahami dan merasai denyut nadi penderitaan rakyat, setelah memecat 300 orang guru Kafa dan menamatkan perkhidmatan guru-guru hafiz, Ahmad boleh merasa senang hati untuk pergi ke luar negeri.

Justeru, tegasnya PAS menuntut penjelasan yang tuntas dan telus dari pihak kerajaan, pembabitan Menteri Besar dalam delegasi tersebut dan perincian kos yang akan dibelanjakan serta hasil yang akan diperolehi, kepada negara dan negeri Terengganu khususnya.

Katanya, kepimpinan adalah satu amanah yang mesti dilunaskan sejujurnya dan bukan suatu ghanimah bagi membolehkan pemimpin mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya.

“Pengganti Nabi SAW, Syaidina Umar al-Khattab di persoalkan hanya sekadar kain yang beliau pakai kerana dirasakan berlebihan mengambil bukan haknya,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Khalifah Umar Abdul Aziz memadamkan lilin peruntukan kerajaan  lalu memasang lilin milik peribadinya ketika berbicara tentang masalah keluarga dengan anaknya.

Maka, kata beliau sewajarnya kerajaan dipertanggungjawabkan ke atas perbelanjaan yang dijangka mencecah jutaan ringgit, pemergian Ahmad dan delegasi ke Antartika.

“Rakyat perlu dimaklumkan setiap ‘sen’ yang dibelanjakan kerana ia adalah hasil ‘perahan’ pendapatan rakyat yang diambil oleh kerajaan melalui pelbagai cukai dan pembayaran kepada khidmat kerajaan,” katanya lagi.

No comments:

Post a comment